ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan sedang menyiasat laporan yang tular di media sosial mengenai insiden Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) yang disyaki dibuli oleh seorang ‘senior’.
Malah laporan itu menyebut mangsa didera menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dadanya sehingga meninggalkan kesan lecur.
Menurut kenyataan Markas ATM, pihaknya mengambil maklum berkenaan laporan berkenaan yang turut tular di media alternatif.
“Susulan itu, ATM mengesahkan bahawa kes tersebut kini sedang dalam siasatan di peringkat ALK–UPNM.
“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut,” katanya.
Markas ATM menambah, tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah.
ATM juga katanya, menggesa agar masyarakat memberi ruang kepada ATM menyiasat perkara ini secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
“Selain itu, masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kepada proses siasatan tersebut.
“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Sebelum ini negara digemparkan dengan kematian tragis Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan. – WILAYAHKU