Fokus

Pedofilia: Permintaan seks bawah umur meningkat

Gambar hiasan
- Diterbit 8 Oktober 2024 11:17 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

ANGKA jenayah seksual terhadap kanak-kanak seperti pedofilia sangat membimbangkan. Pedofilia bukanlah jenayah seksual baharu. Laporan terkini menyatakan 2,272 kes jenayah seksual kanak-kanak direkodkan dari 2020 hingga April 2024.

Seorang pedofilia lebih suka melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak, mempunyai rasa tidak normal, keinginan tidak wajar dan tarikan untuk hubungan seksual semata-mata untuk mencapai keseronokan.

Kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa telah dimanipulasi. Bayangkan jika kanak-kanak itu adalah anak kita sendiri?

Terkini negara digemparkan dengan dua berita utama yang mendapat liputan meluas iaitu modus operandi dilakukan di rumah amal dikaitkan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) yang didakwa terlibat dalam aktiviti seksual.

Selain isu rumah amal tersebut, masyarakat juga dikejutkan dengan adegan seorang pemandu bas yang memuat naik video murid perempuan yang dirujuk sebagai crush serta kesayangan. Rentetan itu, pemandu tersebut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual.

Berpandangan tentang situasi yang semakin membimbangkan, Peguam Syarie, Mohd Yazid Saat berkata kerajaan digesa memperketatkan undang-undang dan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah pedofilia sekali gus melindungi hak asasi kanak-kanak.

“Semua pihak terutama kerajaan digesa menangani isu pedofilia di Malaysia secara konsisten bagi mengekang jenayah seksual terhadap kanak-kanak daripada terus berleluasa.

“Saya berharap kerajaan dapat memperkuatkan lagi akta dan mengenakan hukuman berat ke atas penjenayah pedofilia kerana apabila keluar dari penjara, mereka masih boleh mengulangi jenayah itu.

“Beberapa negara Asia seperti Indonesia telah menjalankan hukuman khusus kepada pesalah pedofilia dengan mengenakan hukuman chemical castration yang dapat memperlahankan imaginasi kerana selepas dibebaskan mereka masih ada nafsu dan fantasi.

“Hukuman itu boleh dijadikan cadangan selain memantau pergerakan dan menjarakkan pelaku dengan kanak-kanak. Bagaimanapun ia masih dalam penyelidikan dan belum dibawa kepada pihak berkaitan,” ujar beliau.

Menurut Mohd Yazid, kriminologi mendapati 40 peratus risiko jenayah seksual disebabkan faktor genetik dan dua peratus risiko terbabit dikaitkan dengan faktor persekitaran yang dikongsi antara adik-beradik seperti sikap ibu bapa, kejiranan dan pendidikan.

“Pakar juga percaya tiada penawar kekal untuk pesalah seksual kanak-kanak terutama pedofilia kerana ada mendakwa rawatan terapi boleh berkesan tetapi ia adalah satu cabaran.

“Memandangkan pesalah pedofilia adalah psikopat yang tingkah lakunya antisosial dan tidak mempunyai rasa empati serta tanggungjawab moral terhadap mangsa, gangguan ini adalah kronik dan boleh terjadi sepanjang hayat.

“Pencegahan jenayah seharusnya menjadi keutamaan bagi polis, tetapi itu tidak sewajarnya menjadi tanggungjawab mereka sahaja. Ibu bapa dan penjaga mesti mengawasi anak-anak dengan baik dan memantau aktiviti dalam talian mereka,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan pengasas bersama kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita, Aegile Fernandez mendedahkan permintaan kepada seks dengan kanak-kanak semakin meningkat di negara ini berikutan penguatkuasaan yang tegas di negara jiran.

“Negara jiran semakin peka mengenai masalah pelacuran kanak-kanak dan pihak berkuasa mereka bekerja keras memerangi pedofilia dan aktiviti seks kanak-kanak. Ini bermakna Malaysia semakin menjadi destinasi lelaki yang mahukan seks bawah umur,” ujarnya.

Ketepi pemikiran kuno

Satu-satunya penyelesaian kepada masalah ini adalah melalui pendidikan seksual yang mana di Malaysia masih cetek.

Terbukti melalui kajian di sekolah, jika di negara membangun yang lain, pendidikan seks selamat dan kelas berkenaan penyakit jangkitan seks diadakan untuk kanak-kanak.

“Malaysia perlu mengetepikan pemikiran yang menganggap pendidikan seks akan menggalakkan hubungan seks sebelum berkahwin kerana kajian menunjukkan golongan muda akan melengahkan pengalaman seksual pertama mereka jika didedahkan kepada pendidikan seks.

“Sikap rakyat Malaysia yang menahan diri daripada mendapatkan pendidikan seks hanya akan mendorong golongan muda untuk lebih tahu tentang seks,” ujarnya.

Selain itu, Mohd Yazid berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat kepada mana-mana pihak sekiranya tingkah laku anak mereka boleh membawa kepada jenayah
seksual.

“Satu kajian yang dilakukan mendapati segolongan besar ibu bapa tidak mengetahui tentang gejala pedofilia. Kebanyakan mereka tidak terdedah dengan masalah tersebut sekali gus kesedarannya cukup rendah.

“Kita harus memahami bahawa pelindung langsung anak-anak adalah orang tua mereka sendiri. Orang tua harus sepenuhnya berwaspada dengan perilaku pedofilia ini dan mendidik anak-anak untuk tidak berkomunikasi dengan orang asing walaupun berita tentang pesalah seks.

“Richard Huckle pernah menggemparkan negara tetapi masyarakat negara ini masih tidak tahu tentang pedofilia. Dia merupakan seorang guru yang menawarkan perkhidmatan tuisyen percuma ketika aktif dalam gerakan keagamaaan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, lelaki yang berasal dari United Kingdom itu kemudiannya ditahan dan dijatuhkan hukuman atas 71 kesalahan seksual terhadap 200 kanak-kanak,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas