Artikel

PEDi Bandar Tun Razak penuhi keperluan setiap lapisan masyarakat

AHLI Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menandatangani plak perasmian Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Perumahan Awam Seri Sabah 3A baru-baru ini.
- Diterbit 26 Oktober 2023 9:00 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

PERKEMBANGAN pesat Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi (ICT) negara telah mendorong banyak perubahan dalam membangunkan masyarakat selain memperkenalkan kepentingan penggunaan teknologi yang selari dengan status negara membangun.

Bagi meningkatkan golongan celik teknologi maklumat (IT), kerajaan telah memperuntukkan kewangan yang besar demi memastikan semua lapisan masyarakat mempunyai kemahiran baharu khususnya teknologi ICT yang merupakan gerbang kepada kemajuan negara.

Selari dengan hasrat tersebut, kerajaan juga mewujudkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di 911 lokasi seluruh negara bagi menyediakan peluang kepada golongan sasar khususnya B40 untuk meningkatkan taraf sosioekonomi melalui platform ekonomi digital.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah agensi yang bertanggung jawab dalam menyelia PEDi berfungsi sebagai pusat pendidikan dan pengajaran berkenaan dengan ICT di samping memperkasa komuniti setempat untuk menjadi inovatif dan berdaya saing melalui platform digital.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebanyak 21 PEDi telah diwujudkan di Wilayah Persekutuan sehingga kini dan PEDi Perumahan Awam Seri Sabah 3A merupakan satu-satunya PEDi di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat setakat ini kepada sesi kursus atau latihan yang dikendalikan, adalah memberangsangkan apabila sejumlah 7,123 penyertaan latihan telah direkodkan sejak 2017 sehingga 30 September 2023.

“Angka ini jelas membuktikan bahawa PEDİ mempunyai potensi besar untuk membantu meningkatkan taraf hidup dan mobiliti sosial penduduk,” kata beliau ketika berucap merasmikan Hari Bersama Komuniti PEDi Bandar Tun Razak baru-baru ini.

Hadir sama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohamad Ali Hanafiah Mohd Yunus; Pengarah Eksekutif Sosioekonomi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin dan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner (ACP) Zam Halim Jamaluddin.

Wan Azizah berkata pendigitalan merupakan aspek penting dalam kehidupan masa kini dan setiap individu tidak boleh ketinggalan untuk turut berubah kerana seluruh dunia telah melalui transformasi digital.

“Kita lihat golongan warga emas juga tidak boleh ketinggalan kerana penggunaan teknologi sudah diperluaskan untuk semua perkhidmatan, malah ia kini turut mempunyai platform termasuklah peluang menjana perniagaan,” katanya.

Tambah Wan Azizah, masyarakat kini mesti menyesuaikan diri dengan peranti-peranti digital termasuklah penggunaan telefon pintar yang semakin meluas selepas penularan pandemik COVID-19 yang lalu.

“Melalui peranti berkenaan ia memudahkan lagi semua pihak untuk lebih berinovasi dan kreatif dalam memulakan perniagaan yang membolehkan setiap orang meningkatkan pendapatan,” katanya.

PEDi Bandar Tun Razak juga telah berjaya melahirkan usahawan makanan dan minuman (F&B), Zulamirul Ainuddin apabila berjaya memasarkan produk Kopi dan Bouquet melalui jenama REN Coffee.

Zulamirul merupakan salah seorang usahawan yang menerima bantuan, khidmat nasihat dan latihan yang diberikan kakitangan di PEDi perumahan awam Seri Sabah 3A untuk menjana pendapatan melalui penglibatan dalam komuniti.

Pendapatannya sebelum ini kurang daripada RM300 sebulan dan telah meningkat kepada lebih RM1,800 sebulan.

Inisiatif PEDİ ini merupakan bukti komitmen kerajaan dalam memastikan taraf hidup masyarakat Malaysia terus dipertingkat.

Pada masa yang sama, ia cerminan keseriusan kerajaan untuk memupuk gaya hidup digital dalam kalangan masyarakat seiring dengan aspirasi kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi digital negara.

Sehubungan itu, Wan Azizah turut menggesa masyarakat setempat terutamanya usahawan dan golongan muda yang membentuk 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di Bandar Tun Razak yang kini berjumlah 191,000 orang, merebut peluang keemasan bagi mengikuti latihan dan program yang ditawarkan oleh PEDi untuk mendalami bidang ekonomi digital dan menggunakannya sebagai platform untuk memajukan diri dan sosioekonomi setempat.

Manfaat PEDi sejak di bangku sekolah

PENERIMA Anugerah Ikon ICT PEDi Perumahan Awam (PA) Seri Sabah 3A, Nurul Husna Noor, 19, mengakui sering memanfaatkan PEDi dalam setiap tugasan sejak dari bangku sekolah sehingga melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Jelas penuntut Diploma Penguatkuasaan Undang-undang Kolej Universiti Saito itu, beliau menjadikan PEDi PA Seri Sabah 3A sebagai lokasi untuk menyiapkan kerja rumah khususnya yang melibatkan penggunaan komputer.

HUSNA

“Ketika di bangku sekolah, kami telah didedahkan dengan tugasan tertentu dan di PEDi ini, saya menjadikan ia sebagai pusat sumber untuk mendapatkan maklumat tambahan melalui Internet.

“Saya juga telah mempelajari banyak perkara berkenaan sistem komputer termasuklah penggunaan Microsoft Word dan Microsoft Excel di samping perlu menyiapkan tugasan dalam memenuhi tanggungjawab sebagai pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya kepada Wilayahku.

Sementara itu, Pengurus PEDi Perumahan Awam Seri Sabah 3A, Nurul Aqilah Hamzah berkata secara purata, PEDi di bawah seliaannya dikunjungi kira-kira 70 orang untuk tempoh satu bulan.

“Seperti Nurul Husna ketika waktu pandemik dahulu, seperti yang kita ketahui semua proses pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan secara dalam talian (online), dan ketika itu dia baru melanjutkan pelajaran dan apabila dia datang ke PeDi, kita bantu bagaimana menyertai kelas yang dianjurkan secara dalam talian.

AQILAH

“Untuk aktiviti warga emas pula, kita turut menganjurkan kelas keagamaan, kelas menjana ekonomi kerana di kawasan ini, meskipun ramai warga emas, namun mereka masih memerlukan pendapatan tambahan dan ia dijalankan secara percuma,” katanya.

Ujarnya, PEDi di bawah seliaannya turut menjadi pilihan untuk sekolah berdekatan mendapatkan perkhidmatan cetakan berwarna kerana ia lebih murah berbanding di luar namun perlu berdaftar sebagai ahli terlebih dahulu.

“Pendaftaran keahlian hanya RM5 sekali seumur hidup dan boleh digunakan di mana-mana cawangan PEDi seluruh negara.

“Kos percetakan lebih murah berbanding di luar, misalnya cetakan berwarna saiz A4, harganya kira-kira RM1 sekeping jika di luar berbanding di PEDi, 10 keping cetakan warna, kami caj harga RM1.20 sahaja,” katanya. – WILAYAHKU


Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas