GANDINGAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terus mempamerkan aksi cemerlang di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila berjaya mara ke separuh akhir.
Ia sekali gus menyaksikan pasangan itu melakar sejarah apabila menjadi beregu wanita pertama negara yang beraksi di peringkat separuh akhir Olimpik.
Dalam aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena itu, Pearly-Thinaah menunjukkan belang mereka apabila mudah mengatasi gandingan Korea Selatan yang berada di ranking ke-10 dunia itu dengan kemenangan 21-12.
Pada set kedua, So Yeong-Hee Yong yang juga pemenang gangsa Olimpik edisi lalu cuba bangkit denngan permainan lebih kemas untuk memerangkap Pearly-Thinaah.
Namun, ketenangan dipamerkan gandingan itu sukar digugat apabila sekali lagi berjaya untuk memenangi set kedua dan juga perlawanan tersebut dengan 21-13.
Mereka dijadualkan menentang Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di pusingan separuh akhir. – WILAYAHKU