Berita

PDRM siasat video tular berunsur komunis, jamin tindakan tegas

- Diterbit 27 Mac 2025 8:30 AM MYT

PDRM siasat video tular berunsur komunis, jamin tindakan tegas

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap penularan sebuah video berdurasi 2 minit 57 saat yang didakwa mengandungi unsur komunisme dan cubaan menghidupkan kembali fahaman tersebut di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa video berkenaan menyebut kewujudan satu pertubuhan tidak berdaftar yang dikenali sebagai “Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia” atau “Persatuan Penyatuan Satu Cina.”

“PDRM memandang serius dakwaan ini kerana sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunisme, secara halus mahupun terbuka, adalah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan boleh mengancam keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sehubungan itu, Razarudin mengesahkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman telah memulakan siasatan di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 41/43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan, termasuk dakwaan berhubung aktiviti tidak berdaftar, penggunaan simbol-simbol komunis, serta unsur subversif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang kenyataan, video, atau gerakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam dan mengganggu keharmonian antara kaum.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan terus kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi dan tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan kerana ia boleh mengundang salah faham serta mengeruhkan keadaan,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas