POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menganjurkan beberapa seminar bagi memberi kesedaran tentang cabaran baharu dalam bidang keselamatan serta kesihatan awam terutamanya melibatkan jenayah siber dan narkotik.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata seminar berkenaan akan dianjurkan menerusi Jabatan Pengurusan PDRM dengan kerjasama Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) dan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd (AIS).
“PDRM Special Dialogue 1 2024 akan diadakan sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 pada 11 Mac di Maktab PDRM Kuala Lumpur manakala PDRM Special Dialogue on Narcotics pula pada 22 Ogos juga di tempat sama. Asia International Security Summit & Expo (AISSE) akan diadakan pada 8 hingga 10 Okt di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata PDRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara bertanggungjawab untuk melindungi masyarakat daripada segala bentuk ancaman jenayah serta komited dalam memperkukuh keupayaan penyiasatan, pencegahan dan pembanterasan kes-kes jenayah di Malaysia. – BERNAMA