Berita

PDRM anjur Makan Malam Amal

- Diterbit 21 November 2024 6:29 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melalui Kelab Jabatan Pengurusan dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka buat julang kalinya akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal ‘Blue Serenade Charity Dinner Live With PDRM Orkestra’.

Majlis yang bakal berlangsung pada 28 Disember depan, bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), itu akan menampilkan persembahan hebat orkestra PDRM terdiri daripada 75 pemuzik dengan pembabitan artis terkemuka tanah air iaitu Datuk Jamal Abdillah, Ziana Zain, Ella Aminuddin, Jo Branko dan Doughlas Lim.

Pemilihan lokasi di Melaka bertepatan untuk merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka (TMM2024).

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, berkata program itu bermatlamat untuk menambah dana dan memperkukuhkan kedudukan kewangan tabung kebajikan PDRM.

“Dana yang dikumpulkan daripada penganjuran majlis ini akan digunakan untuk membaiki dan memperbaharui alatan muzik milik pasukan pancaragam PDRM.

“Hasil daripada penganjuran program itu akan digunakan untuk membantu kebajikan warga PDRM. Kami mengharapkan sokongan daripada semua badan bukan kerajaan (NGO), badan koroporat dan swasta, kelab serta persatuan untuk menambah dana tabung kebajikan PDRM.

Azmi, berkata selain persembahan orkestra dan artis, orang ramai berpeluang mengunjungi Karnival Kepolisan Komuniti yang membabitkan aktiviti seperti reruai pameran dan jualan, kaunter diskaun saman trafik PDRAM, sesi ramah mesra bersama pucuk pimpinan PDRM dan pempengaruh media sosial serta pertunjukan udara/terjunan tepat.

Aktiviti ini katanya dapat merapatkan lagi hubungan antara pihak polis dan masyarakat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas