PIHAK Perbadanan Putrajaya (PPj) sentiasa komited dalam usaha memastikan Putrajaya menjadi sebuah bandar mampan dan bandar hijau karbon rendah bertaraf dunia dalam semua aspek menjelang tahun 2025.
Komitmen PPj dibuktikan dengan pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan dari dahulu sehingga sekarang. Buktinya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut melaksanakan Program Bicara Ilmu Bandar Rendah Karbon baru-baru ini dalam usaha merealisasikan Putrajaya sebagai bandar rendah karbon.
Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, objektif utama program tersebut diadakan bertujuan untuk berkongsi ilmu dan perkembangan terkini seperti tindakan, dasar, polisi dan insentif rendah karbon yang dilaksanakan di Malaysia dan luar negeri.
“Maklumat yang disampaikan oleh para penceramah hebat iaitu Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Meenachi A/P Muniandy dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan dan Pembangunan Industri Suruhanjaya Tenaga (ST), Mohd Hafiz Jamalludin adalah penting sebagai pengetahuan asas kepada Pengurusan Tertinggi Perbadanan dan ahli-ahli task force Putrajaya bandar rendah karbon dalam merangka dan mengkaji semula inisiatif semasa di Putrajaya.
“Penceramah daripada agensi pakar telah meluangkan masa berkongsi status dan kaedah pelaksanaan polisi dan insentif berkenaan rendah karbon di Malaysia,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Fadlun berkata pihak PPj telah pun merangka Pelan Tindakan Perubahan Iklim 2030 (PCAP 2030) pada tahun 2022 untuk menyokong pencapaian sasaran pengurangan karbon yang ditetapkan dalam Pelan Induk Bandar Rendah Karbon (NLCCM) iaitu sebanyak 33 peratus menjelang tahun 2030.
“Susulan daripada itu, satu roadmap pelaksanaan juga telah disediakan sebagai panduan pelaksanaan dari segi timeline dan pencapaian sasaran mitigasi bagi inisiatif yang telah dikenal pasti oleh ahli-ahli task force PPj,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata sejumlah 147 inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan berdasarkan enam tema tindakan iaitu tenaga; perancangan bandar dan peraturan bangunan; biru dan hijau; mobiliti; komuniti serta tindakan daya tahan iklim.
“Kami amat berbesar hati kerana dapat menjemput dua orang penceramah daripada agensi pakar iaitu MITI dan ST untuk berkongsi maklumat berkenaan ‘Carbon Pricing Instruments’ dan ‘Corporate Green Power Programme (CGPP)’.
“Dua agensi ini adalah antara agensi pelaksana polisi dan tindakan berkait rapat dengan rendah karbon di Malaysia.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli task force Putrajaya bandar rendah karbon di atas kesudian untuk meluangkan masa menghadiri bicara ilmu baru-baru ini.
“Semoga taklimat yang disampaikan dapat membantu ahli-ahli task force PPj dalam meningkatkan pemahaman dalam kedua-dua topik tersebut seterusnya menyumbang kepada pencapaian sasaran pengurangan karbon dan sebagai sebuah bandar model rendah karbon di Malaysia,” ujarnya. – WILAYAHKU