INSTITUT Sukan Negara (ISN) akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melihat keperluan untuk mensyaratkan penyediaan peranti defibrillator luaran automatik (AED) di setiap premis yang dijadikan pusat latihan atlet terutamanya membabitkan sukan badminton.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata beliau dihubungi ISN yang memaklumkan mengenai cadangan itu dan sedang di peringkat penelitian bagaimana ia boleh dilaksanakan.
“Sukan badminton ini sangat stressfull on the body. Bukan semua orang boleh bermain dengan selesa. Jadi ISN sedang meneliti bagaimana mereka hendak bekerjasama dengan PBT untuk mensyaratkan prosedur keselamatan itu di semua tempat latihan khasnya badminton.
“Ini penting untuk memastikan keselamatan atlet ketika membuat latihan. Sebenarnya ada PBT yang sudah pun menetapkan syarat berkenaan tetapi tidak semua, jadi sebab itu perlu ada perbincangan lanjut mengenainya,” ujar beliau.
Selain mewajibkan penyediaan kemudahan AED, Hannah berkata penting juga untuk memastikan ada pegawai terlatih yang mahir menggunakan peranti berkenaan ketika berlaku situasi kecemasan.
Cadangan itu dikemukakan susulan kematian pemain muda China, Zhang Zhi Jie selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia pada 30 Jun 2024.
Pemain badminton perseorangan lelaki itu rebah di gelanggang semasa menentang pemain Jepun Kazuma pada perlawanan peringkat kumpulan di Among Rogo Sport Arena.
Sementara itu, mengenai kebimbangan kemungkinan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil akan terjejas susulan penganjuran konsert artis antarabangsa Bruno Mars yang dijadual pada 17 September ini, Hannah memberi jaminan ia tidak akan berlaku lagi
“Untuk acara konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, memang saya telah meletakkan moratorium bahawa tiada sebarang struktur boleh diletakkan di atas rumput.
“Kalau penganjur nak bina pentas dan sebagainya perlulah di atas trek. Semua konsert sekarang memang tidak dibuat di atas padang,” ujarnya. – WILAYAHKU