Artikel

PBAKL, Gutenberg dan Ts’ai Lum

PBAKL adalah acara terbesar dalam dunia perbukuan negara.-Gambar hiasan
- Diterbit 24 Mei 2024 11:10 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

PEMINAT dan pemburu buku sudah merayakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2024) bermula hari ini, (24 Mei) hingga 2 Jun di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Penganjuran ini adalah kali ke-41 dan tahun ketiga selepas pandemik COVID-19.

PBAKL adalah acara terbesar dalam dunia perbukuan negara. Di situlah lubuk mendapatkan pelbagai genre buku berkualiti – dalam dan juga luar negara. Banyak dalam kalangan penerbit menyediakan buku-buku judul baharu yang dijual secara eksklusif di pesta buku itu.

Judul baharu adalah antara tarikan pengunjung ke PBAKL, selain buku yang sudah beredaran tahun lalu dijual dengan potongan harga yang istimewa. Hayat buku tidak sama dengan fesyen kain tudung yang cepat tarikh luputnya. Sekalipun dikelaskan sebagai ‘ judul lama’ itu tidak pernah menjadikan ilmu yang dituang dalam buku itu sudah susut nilainya.

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) misalnya menampilkan tidak kurang 200 judul baharu di pesta buku kali ini. Tentu itu suatu yang mengejutkan apabila ITBM yang hampir ‘karam’ sejak 2018 kini bangkit bergaya dengan judul-judul baharu di Bilik Negeri Sembilan WTC.

Acara bertaraf antarabangsa itu meraikan para bukuwan yang yang terdiri daripada penerbit, penulis serta pembaca yang menggerakkan pembangunan ilmu dan intelektual. Buku yang baik menjadi asas penting ke arah melahirkan masyarakat berkualiti daripada sudut pekerti dan pemikiran.

Semua tentang PBAKL adalah buku. Tidak ada buku tentu sahaja tidak ada PBAKL. Tidak ada kertas juga sukar untuk menghasilkan buku. Ada kertas tetapi tidak ada mesin cetak pula melambatkan buku dihasilkan dan diedar dengan meluas utuk mengembangkan ilmu dan intelektual.

Memang sudah ada buku digital atau e-book tetapi belum meluas di negara ini, malah di negara-negara lain juga. Tradisi membaca buku fizikal masih kuat malah institusi keperpustakaan di luar negara juga menyimpan buku fizikal. Jadi, tulisan ini memfokuskan pada buku fizikal sahaja.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, apabila melihat WTC (dulu PWTC) dipenuhi dengan berbagai-bagai bentuk, saiz dan genre buku yang kertas cetaknya pula beraneka jenis, saya segera terkenang kepada dua manusia yang sangat berjasa itu terhadap buku.

Mereka adalah pencipta mesin cetak Johan Gutenberg pada abad ke-13 dan pencipta kertas, Ts’ai Lum pada zaman Raja Ho Ti tahun 105 Masihi. Kedua-dua manusia berjasa ini telah mencipta dan mengubah sejarah peradaban manusia melalui penyebaran ilmu dengan adanya suatu yang disebut buku.

Nama kedua-dua tokoh itu disebutkan dalam buku The Hundred Most Influential Persons In History yang ditulis oleh Michael Hart. Pada mulanya Michael Hart menyenaraikan kedua-duanya, Gutenberg dan Ts’ai di tangga ketujuh selepas Nabi Muhammad SAW, Issac Newton, Nabi Isa AS dan tokoh-tokoh lain.

Bagaimanapun dia hanya memerlukan satu nama untuk diletakkan di tangga ketujuh, tetapi masalahnya kedua-dua tokoh itu mempunyai kekuatan yang tidak mudah untuk diturunkan pada tangga kelapan.

Akhirnya Michael Hart mengekalkan Ts’ai di tangga ketujuh dengan hujah bahawa penemuan kertas lebih diperlukan pada masa itu, tahun 105 Hijrah berbanding mesin cetak yang dicipta pada 1456 Masihi. Dengan wujudnya kertas, buku boleh dihasilkan dengan kaedah menyakin dan ilmu dapat disebarkan sekalipun dalam lingkaran yang kecil.

Bersahabat dengan buku

Evolusi penciptaan kertas mengambil masa yang panjang lebih 1300 tahun sebelum terciptanya mesin cetak oleh Gutenberg pada 1456. Sepanjang masa itu teknologi pembuatan kertas sentiasa dipertingkatkan dan China adalah negara yang mengungguli teknologi awal pembuatan kertas.

Sekalipun penemuan mesin cetak agak lambat, pembuatan kertas yang terus dipertingatkan memungkinkan lahirnya buku-buku yang disalin. Proses itu tentunya sangat perlahan. Sekalipun begitu kaedah sedemikian telah memenuhi keperluan dalam pengembangan ilmu dan intelektual.

Penemuan kertas memberikan kesan yang sangat besar dalam pengembangan ilmu menggantikan tulisan di atas kepingan buluh, daun dan kulit binatang serta kulit kayu. Malah kertas yang dihasilkan oleh Ts’ai ternyata lebih berkualiti berbanding kain sutera pada zamannya kerana lebih murah dan banyak sumbernya.

Ternyata penemuan kaedah membuat kertas oleh Ts’ai mempunyai kesan yang sangat signifikan dalam konteks penyebaran ilmu dan maklumat. Pada akhirnya kaedah itu tersebar ke seluruh dunia dan terus diberi penambahbaikan dari masa ke masa, sekali gus memberikan sumbangan yang besar dalam peradaban manusia.

Selepas teknologi pembuatan kertas melalui beberapa fasa hingga menjadi sangat mantap pada abad ke-14, penciptaan mesin cetak adalah satu fasa baharu peri pentingnya dalam penerbitan buku yang berskala lebih besar. Tidak sahaja buku malah menjadi pemangkin lahirnya industri persuratkhabaran.

Jika Gutenberg tidak menciptakan mesin cetak, abad ke-18 hingga ke-20 mungkin menjadi berbeza. Mesin cetak juga memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu dan idea-idea baharu yang menggerakkan berbagai-bagai revolusi intelektual dan sosial.

Tanpa mesin cetak, penyebaran ilmu mungkin lebih lambat dan terbatas kepada mereka yang mampu menulis atau memiliki akses buku-buku yang ditulis tangan. Hal itu mungkin melambatkan perkembangan ilmu, teknologi dan pemikiran sosial dan politik.

Terima kasih kepada Gutenberg yang sekalipun dia berada dalam kemiskinan pada penghujung hayatnya disebabkan pembiaya projek mesin cetaknya menuntut hutang dengan tiba-tiba. Gutenberg yakin dengan pulangan besar setelah mendapat kepercayaan mencetak Alkitab pada 1456. Lebih malang lagi projek cetakan Alkitab dirampas oleh pembiaya dan Gutenberg hilang hak atas cetakan berkenaan.

Hari ini teknologi digital sudah berkembang pesat dan menjadikan proses mencetak dan kualitinya teranjak jauh ke depan berbanding seabad lalu. Bagaimanapun semua itu bertolak daripada konsep awal mesin cetak ciptaan Gutenberg. Tidak ada yang akhir tanpa ada yang menjadi pemula, begitulah sejarah kelahiran buku yang menjadi satu keperluan dalam kehidupan manusia.

Menurut statistik, pada PBAKL 2023, sebanyak 20,000 judul buku memenuhi WTC dengan kehadiran 1.5 juta pengunjung. Bayangkan kalau satu judul hanya dicetak 200 naskhah buku, tidak kurang empat juta naskhah buku melimpah di WTC. Sebenarnya 200 naskhah untuk satu judul itu adalah anggaran yang paling kecil.

Buku yang sebanyak itu secara tidak langsungnya terhasil dengan idea Ts’ai mencipta teknologi membuat kertas dan Gutenberg mencipta mesin cetak. Maka dengan mudahnya buku dihasilkan dengan gabungan kertas dan cetakan yang berteknologi tinggi, tentulah suatu yang pelik apabila masih ada yang menjauhkan diri daripada buku.

Rebutlah peluang memiliki buku-buku terbaik yang dibawa khusus pada PBAKL 2024 dan bayangkan susahnya orang zaman dahulu mendapat buku disebabkan ketiadaan teknologi seperti masa kini. Maka jinak-jinaklah diri dan keluarga dengan buku, tentunya buku yang baik dengan merayakan PBAKL 2024.

Membaca buku membuatkan kita tidak berasa keseorangan – itu antara kata-kata orang yang menjadi bijaksana setelah bersahabat dengan buku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas