Artikel

PBAKL 2024 cipta sejarah tersendiri

- Diterbit 7 Jun 2024 11:50 AM MYT

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang berlangsung selama 10 hari sudah pun melabuhkan tirainya pada 2 Jun lalu dengan penuh bersejarah apabila berjaya mencatatkan pengunjung yang paling banyak sepanjang penganjurannya iaitu 1.8 juta orang berbanding tahun sebelumnya 1.5 juta pengunjung.

Dianggarkan juga kira-kira 70 hingga 80 peratus daripada jumlah tersebut merupakan golongan anak muda sekali gus membuktikan generasi kini berminat dengan buku dan budaya ilmu.

Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron berkata perkembangan memberangsangkan itu turut dipengaruhi atas faktor cuti sekolah dan cuti hujung minggu yang membuatkan ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan buku pada harga istimewa.

“Tambahan pula pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar tahap dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) di mana ia memberikan satu rangsangan terhadap kejayaan PBAKL 2024.

“Menerusi pengumuman itu juga, semua strata dalam industri perbukuan mendapat nikmat dan menariknya, baucar yang boleh ditebus mulai 31 Mei itu turut boleh digunakan untuk membeli buku yang diterbitkan pengeluar dan pempamer PBAKL melalui pembelian secara dalam talian.

“Pada 1 Jun 2024, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntukkan sebanyak 50,000 baucar di mana semuanya ditebus kurang lima jam dan buku itu dibeli menerusi dalam talian.

“Sebenarnya pembelian (buku) itu adalah dalam talian melalui Kota Buku Digital. Ia tidak membuat penebusan secara fizikal. Kita bukan sekadar ada pesta buku fizikal tetapi juga ada pesta buku hibrid yang menggunakan medium Shopee dan TikTok,” katanya.

Mohd Khair yang juga Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM) berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada Anwar berikutan beliau mengumumkan pemberian baucar buku ketika PBAKL belum melabuhkan tirainya.

“Baucar buku sangat memberi manfaat kepada ramai murid sekali gus membantu ibu bapa berjimat daripada berbelanja manakala dari segi jualan pula, hasil tinjauan mendapati berlakunya peningkatan antara 30 sehingga 50 peratus.

“Sebagai contoh, di setiap reruai mereka mempunyai penulis selain buku yang dijual terdiri daripada judul baharu yang menarik minat orang datang,” katanya.

Khair berkata terdapat peningkatan permintaan terhadap buku-buku ilmiah selain novel-novel yang biasa menjadi pilihan dan ia merupakan perkembangan positif apatah lagi ramai dalam kalangan pembeli merupakan golongan muda.

“Ini kerana kebanyakan mereka berada dalam fasa matang dan mahu mencari bahan bacaan yang boleh meningkatkan tahap pemikiran. Contohnya sebuah buku terjemahan berjudul Muhammad yang merupakan bahan bacaan aras tinggi berjaya dijual sebanyak 80,000 naskhah.

“Malah gerai-gerai jualan bahan bacaan ilmiah seperti gerai Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) juga menjadi tumpuan pelanggan,” katanya.

RINGAN BEBAN RAKYAT

PEMBERIAN baucar buku bernilai RM100 kepada murid sekolah rendah bermula twahun empat, pelajar sekolah menengah dan IPT merupakan usaha kerajaan membantu dan meringankan beban rakyat untuk mendapatkan bahan ilmiah.

Perdana Menteri menjelaskan, baucar tersebut tidak dapat diberi kepada semua pelajar sekolah rendah seperti sebelum ini memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan.

“Kerajaan boleh teruskan dengan baucar RM100 dan untuk tahun ini, kita mulakan dari (murid) tahun empat bagi mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan.

“Ini bagi memastikan sebahagian wang itu digunakan untuk membeli buku-buku yang diusulkan dan sebahagiannya kita beri kelonggaran untuk anak-anak memilih sendiri,” katanya ketika merasmikan PBAKL 2024 baru-baru ini.

Kira-kira 122,000 judul buku dengan nilai lebih RM600,000 telah ditebus melalui aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital setelah pengagihan baucar buku diumum Perdana Menteri.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ini melibatkan penebusan 56,466 baucar buku bagi peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan murid tahun empat dan ke atas serta pelajar sekolah menengah, manakala baki 50,000 di peringkat KPT.

“Tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku untuk pelajar di institusi pendidikan bawah KPM adalah dari 31 Mei sehingga 31 Disember 2024.

Pesta tersebut adalah program KPM anjuran MBKM dan Dewan Industri Buku Malaysia (MBIS) sebagai penganjur utama dan melibatkan sebanyak 972 reruai dengan 241 pempamer termasuk 14 pempamer dari luar negara antaranya dari Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas