Berita

Pawagam masih relevan?

- Diterbit 26 Ogos 2024 7:22 PM MYT

PEREDARAN zaman membuatkan filem khususnya karya tempatan di pawagam terpaksa bersaing dengan perkidmatan penstriman media, Over The Top (OTT). Situasi ini menjadi lebih ketara apabila negara dilanda pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas.

Akibatnya, ramai produser terpaksa beralih ke platform digital seperti Netflix, Disney+, Mubi, Viu, iQiyi dan stesen berbayar seperti Astro First sebagai pilihan memasarkan produk mereka.

Bukan itu sahaja, menerusi OTT ini juga penonton mempunyai lebih banyak pilihan filem dan drama dari seluruh dunia tanpa perlu ke pawagam. Harganya juga lebih murah dan mempunyai pakej-pakej tertentu. Rentetan itu, segelintir pihak berpendapat pawagam tidak lagi relevan. Sejauh mana tanggapan itu? deeL anjer sempat mengupas isu ini.

Pengalaman luar biasa

SELEBRITI Kilafairy menolak pendapat yang mengatakan pawagam tidak lagi relevan kerana menurutnya segelintir penonton tetap mahukan kelainan dan rasa yang berbeza berbanding di rumah.

Bagi pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan, 32, pawagam tetap menjadi keutamaan untuk menonton filem.

“Terdapat filem-filem yang hanya seronok atau sesuai ditonton hanya di pawagam. Kalau ada yang tanya kenapa, sudah tentu feel di pawagam berbeza berbanding menonton filem di rumah atau menerusi platform OTT. Sangat berbeza.

“Misalnya kalau tonton filem aksi atau seram, rasa atau penghayatannya lebih puas kerana situasi pawagam itu sendiri. Jika tonton filem seram, rasa  takut itulah kepuasan atau kemuncaknya.

Anda sukar untuk mendapatkan rasa itu di rumah. Feel atau rasa itu sangat penting apabila menonton filem. Kalau tidak, takkanlah ramai yang masih ke pawagam dan banyak filem dapat kutipan yang tinggi dan luar biasa,” katanya.

Kilafairy juga berasakan menonton filem di pawagam menjadikannya lebih fokus berbanding ketika berada di rumah.

“Also you are more focus in cinema pasal bila di rumah macam-macam berlaku misalnya anak menangis, sekejap-sekejap ke dapur cari makan, pergi ke tandaslah dan banyak lagi.

“Jadi fokus itu lebih baik di pawagam. Iyalah, kalau boleh kita nak fokus menonton filem yang kita tunggu-tunggu tayangannya,” tambahnya lagi.

 

Teknologi penuhi kehendak penonton

PENGEDAR filem, Mohamad Zubir Badar Shair dari Empire Film Solution berpendapat pawagam sentiasa relevan kerana penonton mahukan kualiti dan kepuasan.

“Bagi saya pawagam masih relevan. Ini kerana feel atau pengalaman menonton di pawagam sebenarnya banyak perbezaannya berbanding kita menonton di rumah. Kiranya cinematic experience takkan dapat di rumah.

“Tambahan pula, ramai penonton yang nak enjoy dari segi kualiti gambar, video, bunyi dan sebagainya. Pawagam sekarang pun dah banyak naik taraf 4D, Max dan lain-lain.

“Teknologi pawagam itu sendiri seiring dengan selera atau kehendak penonton. Apa yang mereka rasa di pawagam ini takkan sama dengan menonton di rumah. Sangat berbeza.

“Kalau boleh, sudah tentu kita mahukan sedikit kelainan apabila menonton filem yang kita suka. Jalan cerita bagus, pelakon hebat ditambah dengan teknologi pawagam itu sendiri, antara tarikan utama penonton untuk terus ke pawagam,” ujarnya.

Selain itu, tugas pengedar filem juga memainkan peranan penting dalam menarik penonton ke pawagam.

“Bukan sahaja mengedarkan filem itu ke pawagam. Ia termasuk menguruskan sesebuah filem itu untuk ditayangkan di pawagam bermula dari peringkat Lembaga Penapisan Filem (LPF) sehingga ke Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Saya juga membuat promosi serta mengatur strategi pemasaran untuk filem yang bakal ditayangkan itu. Biasanya saya akan buat promosi filem tersebut selama tiga bulan sebelum ditayangkan.

“Kalau ikutkan dah banyak filem yang saya edarkan antaranya adalah Zim Zim Ala Kazim, Memoir Seorang Guru, Buas, Mat Tudung, Pendekar Awang dan banyak lagi,” ujarnya.

 

Persaingan sihat

PELAKON filem Khurafat: Perjanjian Syaitan dan Showtime 1958, Shah Iskandar berpendapat pawagam masih relevan meskipun platform OTT kini menjadi pilihan ramai.

Bagi Shah, kejayaan banyak filem yang ditayangkan selepas pandemik COVID-19 tetap mendapat kutipan luar jangkaan seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan  yang meraih RM97 juta Polis EVO 3 (RM54 juta) dan Sheriff: Narko Integriti (RM64 juta), membuktikan pawagam masih relevan.

“Secara peribadi, bagi saya walaupun ada OTT, pawagam tetap relevan. Memang sejak pandemik dulu, ramai beralih dan lebih gemar menonton filem di OTT, namun banyak filem di pawagam masih menjadi pilihan.

“Kalau nak kata pawagam sudah tak relevan, mana mungkin filem-filem ini mendapat kutipan tinggi. Ia sudah cukup membuktikan sebenarnya ramai yang suka menonton filem di pawagam,” katanya.

Shah juga menyifatkan kewujudan platform OTT adalah satu persaingan sihat kepada pawagam.

“Bagi saya, OTT bukanlah ancaman kepada pawagam malah satu cabaran peredaran masa dalam zaman yang moden seperti hari ini. Jangan kerana adanya OTT, orang nak kata pawagam tak relevan. Ini kerana orang yang menonton di OTT boleh juga ke pawagam. Begitulah juga sebaliknya.

“Selain itu, baik pawagam atau OTT, kedua-duanya membantu anak-anak seni dalam mencari rezeki. Ini satu perkembangan yang bagus dan membawa kebaikan kepada sektor ekonomi negara,” tambahnya.

Shah bakal muncul dalam drama bersiri Polis Peronda terbitan Skop Production dengan membawa watak sebagai Korporal Bani selain teater Cinta Ahmad Mutawakil yang bakal dipentaskan di Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas