DESTINASI gedung beli-belah gaya hidup ikonik di Kuala Lumpur, Pavilion Bukit Jalil dianugerahkan sebagai Pemenang Emas Dunia dalam kategori Gedung Beli-belah di Anugerah FIABCI World Prix D’Excellence 2024 baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT, Patrick Liau Kong Voon berkata anugerah tersebut menandakan pencapaian penting bagi Pavilion REIT serta industri rangkaian gedung beli-belah di Malaysia.
“Anugerah ini adalah bukti komitmen Pavilion Bukit Jalil terhadap kecemerlangan dalam menyediakan pengalaman membeli-belah yang tiada tandingan dan bertaraf piawaian emas dalam industri Gedung Beli-belah.
“Anugerah FIABCI World Prix D’Excellence terkenal dengan proses penilaiannya yang ketat dan prestij antarabangsa, mengiktiraf projek hartanah cemerlang yang mewujudkan kecemerlangan dalam reka bentuk, pembangunan dan kemampanan. Tahun ini, jawatankuasa penilai FIABCI Antarabangsa yang terdiri daripada lebih 60 juri dari 35 negara telah mengiktiraf Pavilion Bukit Jalil sebagai Gedung Beli-Belah Terbaik Dunia,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dengan keluasan sewaan yang meliputi lebih 1.8 juta kaki persegi merentasi lima tingkat, Patrick berkata gedung beli-belah tersebut menawarkan gabungan pengalaman beli-belah mengasyikkan, termasuk pelbagai pilihan tempat makan, hiburan dinamik dan tawaran gaya hidup yang telah memikat hati berjuta-juta pengunjung.
“Pengambilalihan strategik Pavilion Bukit Jalil telah menjadi penambahan aset penting kepada portfolio kami, mencerminkan komitmen untuk melabur dalam aset berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pengguna yang semakin meluas,” katanya.
Tambah Patrick, gedung beli-belah ini akan mencapai kadar pengisian sewaan melebihi 90 peratus menjelang akhir tahun 2024 menandakan kemampuan dan keyakinan kukuh daripada peniaga.
“Selain itu, penyewa Pavilion Bukit Jalil dijangka akan berprestasi lebih baik kerana kadar penyewaannya kini stabil. Ini akan membolehkan pihak pengurusan memberi tumpuan ke arah perkembangan gabungan runcit.
“Pengambilalihan Pavilion Bukit Jalil adalah keputusan yang tepat dengan penambahan gedung beli-belah yang memenangi anugerah Pavilion Kuala Lumpur yang juga telah memenangi emas di Anugerah FIABCI World Prix D’Excellence pada tahun 2009,” katanya. – WILAYAHKU