Dengan keadaan cuaca buruk, pasukan penyelamat “berlumba” dengan masa untuk mencari lokasi helikopter yang hilang yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasinya yang terpaksa melakukan “pendaratan kecemasan” di bahagian barat laut negara itu.
Pasukan penyelamat termasuk angkatan bersenjata, sedang menyusuri kawasan berbatu dan medan bukit berhampiran bandar Varzaqan di wilayah Azarbaijan Timur dan telah mengecilkan radius pencarian mereka kepada 2 kilometer walaupun cuaca berkabus dan hujan, menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Sebelum ini, Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) menyatakan bahawa mereka telah menghantar lebih banyak kumpulan untuk membantu mencari lokasi helikopter yang terhempas di wilayah barat laut Azarbaijan Timur.
Presiden Raisi dalam perjalanan pulang daripada upacara perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dengan Republik Azerbaijan, apabila helikopternya terhempas semasa pendaratan di kawasan Varzaqan pada Ahad.
Empat puluh enam pasukan respons pantas dan penyelamat dari wilayah Azarbaijan Timur, Tehran, Alborz, Ardabil, Zanjan dan Azarbaijan Barat telah digerakkan untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat, kata IRCS pada Ahad malam.
Terdahulu, ketua IRCS, Pirhossein Koulivand yang memimpin operasi pencarian dan penyelamat, menyatakan bahawa keadaan cuaca buruk dan kawasan itu tidak dapat dilalui menghambat operasi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Operasi IRCS, Razieh Alishvandi berkata empat pasukan khusus kini berada berhampiran lokasi nahas tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk terus menghampiri lokasi disebabkan keadaan cuaca yang buruk.
Operasi pencarian menggunakan dron dan helikopter juga mustahil, tambahnya. – BERNAMA-IRNA