Berita

Pasukan pengaman Malaysia di Congo selamat

Foto: Alexis Huguet/AFP/Getty Images
- Diterbit 5 Februari 2025 11:24 AM MYT

PASUKAN pengaman Malaysia yang bertugas di bawah Misi Penstabilan Organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) berada dalam keadaan selamat.

Wisma Putra memberitahu, untuk itu pihaknya sedang memantau dengan teliti situasi keselamatan di Congo.

Ini susulan konflik yang semakin meruncing di Congo selepas kumpulan pemberontak mendakwa telah menawan Goma, bandar terbesar di timur negara itu.

“Pihak Kementerian Luar Negeri sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia dan Kementerian Pertahanan untuk menilai situasi dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Wisma Putra menambah, rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pergi ke Congo disarankan untuk menangguhkan rancangan perjalanan mereka sehingga situasi keselamatan stabil.

Jelasnya, untuk bantuan Konsular boleh hubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek atau hubungi (+264-61)259342/(+264-61)259344 atau e-mel [email protected].

“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan dan memberikan kemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Peningkatan pertempuran yang berterusan telah menyebabkan kira-kira setengah juta orang terpaksa berpindah.

Perkembangan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan tentang peperangan serantau yang pernah mengorbankan berjuta-juta nyawa antara 1996 hingga 2003, kebanyakannya akibat kebuluran dan penyakit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas