Berita

Pasukan karate rangkul 2 gangsa

- Diterbit 22 Disember 2023 10:20 AM MYT

PASUKAN karate Labuan berjaya meraih dua pingat gangsa pada Kejohanan Karate Peringkat Kebangsaan kali ke-31 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Pingat pertama diperoleh menerusi atlet Nur Aneesa Aira Mohamad Affendi bagi kategori KATA Kadet Perempuan 14 hingga 15 tahun.

Pungutan mata yang tinggi oleh Aira berjaya menumpaskan pihak lawan dari Pahang pada perlawanan penentuan pingat gangsa sekali gus menempatkan Aira pada kedudukan ketiga teratas daripada 20 peserta bagi kategori tersebut.

Pingat gangsa kedua disumbangkan oleh Muhammad Isyraf Faiz Mohamad Ismifarizal melalui kategori KUMITE Kadet Lelaki 70 kilogram (kg) (14 hingga 15 tahun) menewaskan pesaing dari negeri Selangor pada pusingan penentuan pingat gangsa dengan mata 3-2.

Menurut Jurulatih Karate Labuan, Abdul Jamil, penyertaan kejohanan itu penting untuk pasukannya bagi mengukur kemampuan atlet yang bakal besaing pada SUKMA tahun hadapan.

“Melalui kejohanan ini kita boleh mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Wilayahku baru-baru ini.

Terdahulu, kejohanan tersebut mengumpul seramai 504 atlet dari seluruh negara dan telah mencatatkan penyertaan teramai sepanjang edisi yang diadakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas