Berita

Pasukan Geoforensik JMG di ground zero Putra Heights

- Diterbit 8 April 2025 10:30 AM MYT

PASUKAN Geoforensik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah digerakkan ke lokasi kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights sejak hari pertama insiden dilaporkan berlaku.

Tugasan utama JMG di tapak bencana tertumpu kepada penilaian kestabilan tanah, pengambilan dan analisa sampel geologi serta memberikan input teknikal berdasarkan kepakaran dalam bidang geoforensik.

Menurut hantaran di laman Facebook JMG, penglibatan mereka adalah berasaskan kaedah saintifik dan bukti-bukti lapangan, sejajar dengan pendekatan profesional yang diterapkan dalam menangani situasi-situasi bencana.

“Bidang geoforensik kini menjadi antara keutamaan kami di JMG. Ia melangkaui peranan tradisional ahli geologi yang sebelum ini lebih tertumpu kepada kajian dan pemetaan geologi semata-mata,” jelas JMG.

Ketika ini, pelbagai pasukan teknikal daripada jabatan dan agensi berkaitan sedang melaksanakan tugasan masing-masing di lokasi, dengan kerjasama rentas agensi menjadi faktor utama dalam menyokong siasatan dan kerja-kerja pemulihan bencana.

JMG turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dan mengucapkan Selamat Hari Ahli Geologi 2025 kepada semua warga geologi negara yang terus komited memainkan peranan penting dalam pembangunan dan keselamatan negara.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas