Artikel

Pastikan makanan bersih

PARA peniaga diingatkan untuk menjaga kualiti dan kebersihan makanan yang dijual. - Gambar hiasan
- Diterbit 9 Mac 2025 4:00 PM MYT
SUDAH beberapa hari umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa. Bermakna juga sudah beberapa hari bazar Ramadan beroperasi menyediakan pelbagai juadah.

Di Kuala Lumpur‚ terdapat bazar Ramadan yang sudah sinonim dengan orang ramai sejak sekian lama. Antara yang popular seperti di Jalan Raja Abdullah‚ Kampung Bharu, Keramat‚ Wangsa Maju‚ Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Danau Kota.

Sambutan memang menggalakkan. Sejak awal petang sudah ramai datang berkunjung‚ sehingga keadaan di bazar sesak.

Tetapi dalam membeli‚ amalkan jimat cermat dan berpada-pada. Siang hari waktu perut lapar semua hendak dibeli‚ hendak dimakan. Kerana itu jadi gelap mata‚ seolah-olah semua yang dijual mahu diborong dibawa pulang.

Sikap ini bukan sahaja menyebabkan banyak belanja perlu dikeluarkan‚ tetapi boleh menjurus kepada pembaziran.

Kawan-kawan Kedai Kopi juga ingin ingatkan para peniaga di bazar Ramadan agar menitikberatkan aspek kualiti dan kebersihan makanan. Jual hanya makanan yang elok dan bersih. Pastikan makanan yang sudah rosak atau basi tidak dijual.

Jika makanan sudah tidak elok dan dijual kerana tidak mahu rugi, perbuatan ini membahayakan pembeli. Jangan aniaya mereka. 
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas