Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Pasaran ekuiti Malaysia teruskan momentum positif bagi separuh kedua 2024 – MIDF Research

- Diterbit 26 Jun 2024 5:59 PM MYT

MIDF Research menjangkakan pasaran ekuiti Malaysia akan meneruskan momentum positifnya bagi separuh kedua tahun ini, berdasarkan prestasi penanda aras utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan kenaikan 9.3 peratus tahun setakat ini (sehingga 21 Jun).

Dalam laporan pasarannya untuk 2024 hari ini, ia berkata momentum pasaran positif itu didorong oleh dana asing, yang memainkan peranan utama dalam memacu pasaran ekuiti tempatan tahun ini.

“Kami menjangkakan pasaran ekuiti tempatan akan terus didorong oleh aliran masuk dana asing, dan berdasarkan prospek pendapatan makro dan korporat yang sihat,” katanya.

Menurut MIDF, bermula awal Januari hingga 27 Februari, pasaran ekuiti tempatan merekodkan pembelian asing bersih sebanyak RM2.4 bilion manakala FBM KLCI meningkat 104 mata.

“Dari 23 April hingga 23 Mei, pasaran ekuiti tempatan merekodkan pembelian asing bersih sebanyak RM3.7 bilion dan FBM KLCI meningkat 82 mata kepada penutup harian tertingginya setakat tahun ini pada 1,629 mata,” kata laporan itu.

Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan aliran masuk dana asing masuk semula seawal suku ketiga tahun ini.

Ia berkata latar belakang makroekonomi yang sihat dan pendapatan korporat yang baik telah memacu pasaran ekuiti tempatan setakat tahun ini.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia mengatasi jangkaan dengan meningkat kepada 4.2 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 2.9 peratus tahun ke tahun).

“Sementara itu, pendapatan korporat berkembang pada suku pertama 2024 dengan agregat pendapatan normal FBM KLCI meningkat untuk suku ke suku dan tahun ke tahun masing-masing pada 11.3 peratus dan 15.8 peratus,” kata MIDF Research.

Ia turut mengunjurkan pertumbuhan makro dan pendapatan yang berterusan.

“Kami menjangkakan ekonomi Malaysia akan menyaksikan pengembangan berterusan dalam permintaan dalam negeri dan mendapat manfaat daripada pemulihan dalam perdagangan luar.

“Kami percaya momentum positif akan berterusan pada suku akan datang; oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini akan meningkat pada +4.7 peratus (2023: +3.6 peratus),” kata firma penyelidikan itu.

Ia menyatakan bahawa pendapatan korporat tempatan kekal sihat pada masa hadapan dengan peningkatan yang lebih tinggi (bagi kedua-dua permintaan dalam dan luar negeri) dalam aktiviti makroekonomi di tengah-tengah tekanan harga yang merosot dan persekitaran kadar faedah yang stabil.

“Pendapatan konsensus FBM KLCI juga dijangka meningkat sebanyak +5.3 peratus tahun ini dan +7.9 peratus tahun depan,” kata MIDF Research. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas