Berita

Pasar malam di Putrajaya jadi tumpuan calon PRU15 menyantuni pengundi

- Diterbit 8 November 2022 2:37 PM MYT

PASAR malam di Presint 2 di sini hari ini menjadi lokasi tumpuan calon-calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen Putrajaya menyantuni penduduk kawasan pusat pentadbiran persekutuan itu yang rata-ratanya adalah penjawat awam.

Malah hujan renyai di kawasan itu tidak mematahkan semangat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari Barisan Nasional (BN-UMNO), Datuk Dr Radzi Jidin Perikatan Nasional (PN-Bersatu) dan Datuk Mohd Rosli Ramli (GTA-Pejuang) untuk bertemu seramai mungkin penduduk Putrajaya.

Meskipun ketiga-tiga calon berkenaan mempunyai haluan politik yang berbeza namun mereka kelihatan profesional apabila bertemu dan bersalaman sesama sendiri dalam keadaan hujan renyai di tengah laluan pasar malam itu.

BN turut memeriahkan kawasan sekitar pasar malam yang dibuka pada setiap Selasa dan Jumaat itu dengan menempatkan van kempen serta memasang lagu-lagu untuk menarik perhatian orang ramai yang hadir.

Ketika ditemui pemberita selepas menyantuni orang ramai di pasar malam itu, Tengku Adnan berkata beliau berhasrat untuk menambah bilangan hari pasar malam yang menjual pelbagai jenis makanan dan barangan basah itu kepada tiga kali seminggu.

“Pasar malam ini yang pentingnya adalah alternatif untuk rakyat datang membeli dengan harga murah,” katanya menambah perjalanan kempen ketika ini amat baik.

Sementara itu Radzi berkata beliau ingin mengekalkan momentum bertemu penduduk di Putrajaya sehingga hari mengundi.

“Alhamdulillah sambutan cukup baik dan kita berkempen dalam suasana harmoni dan tertib,” katanya.

Mohd Rosli yang pernah berkhidmat dengan kerajaan berkata isu penjawat awam dekat di hati nuraninya, dan meskipun beliau calon baharu, beliau beliau penduduk di Putrajaya nampak positif menerima kehadirannya.

Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara BN, PN, Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon Bebas.

Mereka ialah Tengku Adnan (BN-UMNO), Radzi (PN-Bersatu), Mohd Rosli (GTA-Pejuang), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas