PASAR Datuk Keramat, Kuala Lumpur‚ dalam keadaan sangat daif. Ini penelitian Perdana Menteri‚ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melakukan lawatan tinjauan dan bermesra dengan para peniaga di pasar tersebut baru-baru ini.
Perdana Menteri kesal dengan kemelut yang melanda menyebabkan rancangan pembangunan semula pasar tersebut tertangguh sejak beberapa tahun lalu. Beliau mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengatasi kemelut tersebut dan proses pembangunan segera dijalankan.
Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ memang sewajarnya pasar tersebut dibangunkan semula serta dinaik taraf kerana keadaannya sesak dan tidak teratur. Pasar utama lain seperti Chow Kit pun sudah dibangun semula.
Anwar telah memaklumkan kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Bandar, Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh untuk memberi perhatian terhadap perkara tersebut dan mengatasinya.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi‚ memaklumkan DBKL telah menebus semula tanah yang sebelum ini dijual kepada pemaju. Semoga ia dilaksanakan segera dan berjalan lancar.
Untuk rekod‚ Pasar Datuk Keramat pernah dua kali terbakar. Pertama kali pada Mac 2021. Kebakaran ini memusnahkan 40 kedai di pasar tersebut dan menyebabkan kerugian sekali gus peniaga hilang tempat berniaga.
Selang 15 bulan kemudian‚ sekali lagi ia terbakar dan menyaksikan 50 peratus pasar tersebut musnah.