KUALA LUMPUR – Institusi perkahwinan Malaysia, hari ini merekodkan sejarah tersendiri apabila Majlis Akad Nikah sepasang pengantin dilakukan secara atas talian (online) oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Detik bersejarah itu dilaksanakan ekoran kekangan pergerakan akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia pada masa ini.
Berdasarkan laporan berita Al-Hijrah, majlis pernikahan pertama secara atas talian dilakukan melalui sidang video yang membabitkan pasangan pengantin, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd. Sharif, 29, itu disempurnakan dalam sekali lafaz.
Majlis diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa pada pukul 10.10 pagi tadi.
Bapa pengantin perempuan, Mohd. Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan kehadiran saksi.
Majlis tersebut turut disiarkan menerusi Facebook Live Berita AlHijrah yang mana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd. Ajib Ismail hadir menyaksikan pernikahan itu.
Majlis nikah online itu selaras dengan ketetapan terbaru JAWI pada 17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperoleh Kebenaran Berkahwin daripada JAWI untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video (video conference) berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.
Antara negara yang melaksanakan nikah online ekoran penularan wabak Covid-19 adalah Emeriyah Arab Bersatu (UAE).
Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga 28 April depan bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini. – WILAYAHKU
