PARLIMEN Malaysia melalui Kelab Kebajikan dan Sukan (KESPA) mengambil inisiatif menggerakkan skuad sukarelawan bagi melaksanakan misi bantuan pasca banjir ke sekitar kawasan Jeniang, Kedah.
Menurut Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia, ia selaras dengan hasrat untuk ‘merakyatkan Parlimen’ melalui pendekatan turun padang serta menyantuni masyarakat umum.
“Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan turut bersama-sama Skuad Sukarelawan Parlimen Malaysia untuk menyampaikan bantuan pasca banjir kepada penduduk setempat yang terjejas.
“Parlimen Malaysia sentiasa prihatin terhadap mangsa-mangsa yang terkesan akibat musibah banjir yang melanda negara kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, skuad sukarelawan yang diketuai Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman akan memulakan konvoi misi bantuan hari ini dengan menaiki enam kenderaan pacuan empat roda bersama-sama lebih 15 orang sukarelawan.
Katanya, misi utama skuad ini adalah untuk menyampaikan bantuan pasca banjir berupa barangan keperluan harian dan pada masa yang sama membantu mangsa membersihkan kediaman yang terjejas akibat banjir.
Terdahulu simbolik perlepasan dengan sesi flag-off Skuad Sukarelawan Parlimen Malaysia disempurnakan Setiausaha Bahagian (Pengurusan) Parlimen Malaysia, Riduan Rahmat di pekarangan lobi Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Parlimen Malaysia. – WILAYAHKU