HANYA dua jam! Ingat tempoh masa ini apabila meletak kenderaan di bahu jalan di Kuala Lumpur.
Projek perintis peraturan parkir ‘Petak 2 Jam’ mula berkuat kuasa di ibu negara 7 April lalu.
‘Petak 2 Jam’ ialah petak letak kereta dengan had penggunaan maksimum sehingga dua jam sahaja.
Untuk peringkat permulaan‚ projek perintis dilaksanakan di dua kawasan iaitu di Medan Tuanku dan Jalan Ipoh Kecil.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)‚ peraturan tersebut akan diperluas ke kawasan lain di ibu kota secara berperingkat mulai Jun 2026. Pelaksanaannya selaras dengan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.
Kawan-kawan Kedai Kopi sifatkan usaha DBKL menetapkan kadar minimum parkir dua jam ini sebagai tindakan proaktif memastikan kawasan parkir tidak dimonopoli oleh seseorang pemandu untuk waktu yang lama.
Sebaliknya ia memberi peluang kepada pemandu lain yang ingin meletakkan kenderaan berbuat demikian. Dalam suasana tempat perkir yang begitu terhad di ibu negara‚ tempoh dua jam akan membantu mengurangkan masalah ini.
Tentu pihak DBKL mempunyai mekanisme tertentu memastikan peraturan ini dipatuhi dengan memantau pemandu yang meletakkan kenderaan melebihi had ditetapkan. Pemandu wajar bekerjasama menurut masa maksimum dibenarkan. – WILAYAHKU