Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Paris 2024: MOM yakin atlet mampu raih emas di Olimpik

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sedia harungi Olimpik Paris 2024.
- Diterbit 28 Jun 2024 3:40 PM MYT

SAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menaruh harapan kepada atlet negara dalam beberapa jenis sukan bagi meraih pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan lima sukan itu ialah badminton, berbasikal, terjun, memanah dan sukan perahu layar, yang mana mempunyai peluang cerah untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

“Atlet kita dalam sukan ini mempunyai prospek menyumbang pingat emas di temasya sukan terbesar dunia ini dan sudah tentu sasaran kita yang paling utama ialah pingat emas.

“Tidak sama perasaan jika seseorang itu mempunyai 10 pingat perak berbanding mempunyai hanya satu sahaja pingat emas. Sudah pasti ia berbeza, jadi memang kita sudah sepakat emas mesti digenggam,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Mohamad Norza berkata tugas merealisasikan impian emas Olimpik sulung negara itu tidak hanya terletak atas lima sukan tersebut sahaja sebaliknya sukan lain turut dilihat berpeluang menempa nama di temasya berprestij itu.

“Kesemua atlet yang layak ke Olimpik bermaksud mereka juga mempunyai peluang dapatkan pingat, malah sudah berusaha empat tahun untuk sampai kepada peringkat itu, jadi sudah tentu mereka akan cuba sedaya upaya serta bukan sekadar sebagai penumpang sahaja.

“Setiap yang bergelar atlet pasti mengimpikan mampu melayakkan diri ke Olimpik, jadi mereka sudah sampai ke tahap itu dan tugas kita sekarang adalah untuk berikan segala sokongan agar dapat mempamerkan prestasi terbaik di Paris nanti,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohamad Norza berkata setakat ini atlet berada pada momentum terbaik bagi menggalas cabaran kutipan pingat menerusi temasya tersebut.

“Ada atlet kita yang telah berada di sana sebagai persiapan terakhir mereka, begitu juga beberapa sukan lagi yang ada perancangan mereka sendiri, cuma kita nasihatkan untuk waspada dengan persiapan masing-masing bagi mengelak risiko kecederaan.

“Saya harap semua atlet terlibat berada dalam keadaan terbaik dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum bermulanya saingan berkenaan,” ujar beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas