KEMENTERIAN Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan penurunan bagi aduan panggilan terputus untuk setiap rangkaian mudah alih 4G antara 10 sehingga 74 peratus (%).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia melibatkan liputan perkhidmatan suara oleh penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan Telekom Malaysia.
“MCMC akan terus memantau isu ini sepanjang suku pertama sehingga 31 Mac 2024 dan melaporkan semula kepada saya.
“MCMC juga memainkan peranan penting untuk bekerjasama rapat dengan pengendali rangkaian mudah alih agar telco di Malaysia sentiasa berusaha menambah baik kualiti perkhidmatan rangkaian dan liputan,” katanya pada sidang media Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di sini pada Selasa.
Sebelum itu, Fahmi bersama timbalannya, Teo Nie Ching menaiki bas dari Parlimen ke Kementerian Komunikasi, Putrajaya bagi sesi Ujian Panggilan Suara atau dropped calls-drive test.
“Dapatan daripada ujian hari ini, tiada panggilan terputus direkodkan dan saya ingin menekankan di sini bahawa ujian yang dibuat ialah Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular dan bukannya panggilan menggunakan Internet.
“Kepada semua pengendali rangkaian mudah alih, saya berharap agar perhatian serius dan pantas dapat diambil dalam menyelesaikan masalah ini. Rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan berkualiti yang setimpal nilainya dengan langganan perkhidmatan,” ujarnya kerajaan memandang serius isu panggilan terputus ini yang sering kali dibangkitkan oleh pengguna dan mahu ia ditangani segera demi kepentingan rakyat.
Tambah Fahmi, bagi tempoh antara 1 Januari sehingga 13 Disember 2023 yang lalu, hasil pengauditan yang dijalankan oleh MCMC menunjukkan sebanyak 1,837 panggilan terputus telah direkodkan, termasuk kes-kes yang berlaku di luar kawasan liputan.
“Satu pertemuan di antara MCMC dengan pihak pengendali rangkaian mudah alih dan Digital Nasional Berhad (DNB) telah diadakan pada 14 Disember 2023 lalu bagi membincangkan mengenai masalah panggilan terputus dalam rangkaian mudah alih.
“Satu bengkel telah dianjurkan dan beberapa inisiatif telah dikenal pasti dan dipersetujui antaranya selain daripada pihak pengendali rangkaian mudah alih 4G mengoptimumkan rangkaian mereka, DNB juga telah mengaktifkan fungsi Call Reestablishment (CRE) untuk saluran LTE700 dalam rangkaian 5G bermula dari 21 Disember sehingga 29 Disember 2023 untuk kesemua tapak 5G di seluruh negara,” jelasnya. – WILAYAHKU