Berita

Panduan Reka Bentuk Jalan Global kini dalam Bahasa Malaysia

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 2 Oktober 2023 3:15 PM MYT

GLOBAL Designing Cities Initiative (GDCI) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Bike Commute Malaysia dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (MIROS) hari ini melancarkan Panduan Reka Bentuk Jalan Global dalam versi Bahasa Malaysia.

Panduan Reka Bentuk Jalan Global itu merupakan inisiatif murni GDCI, rakan kongsi utama di bawah Bloomberg Philanthropies Initiative for Global Road Safety (BIGRS) untuk mengurangkan kematian dan kecederaan akibat nahas jalan raya.

Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Mohamad Hamim berkata pelancaran panduan itu mencerminkan komitmen Kuala Lumpur untuk mempunyai reka bentuk jalan yang lebih selamat sekali gus merintis penyelesaian reka bentuk bandar yang inovatif.

“Kerjasama ini akan menerajui transformasi sebuah jalan berdekatan dengan dua buah sekolah di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini.

“Saya berharap kerjasama bersama BIGRS dapat mengadaptasi pendekatan baharu yang berkekalan dan semoga Kuala Lumpur akan dijadikan contoh oleh negara-negara serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata keutamaan DBKL adalah untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di ibu kota dan mewujudkan bandar yang mesra pengguna dengan menyediakan pelbagai pilihan perjalanan selamat untuk warga kota.

Malaysia bertekad untuk pengurangan sekurang-kurangnya 50 peratus kematian dan kecederaan akibat nahas jalan raya menjelang 2030, selari Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030, dan mengikuti Dekad Kedua Tindakan untuk Keselamatan Jalan Raya 2021-2030 yang diisytiharkan dalam Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Panduan Reka Bentuk Jalan Global, yang dibangunkan dengan input daripada pakar dari 72 bandar dan 42 negara itu merangkumi kajian kes antarabangsa dan panduan teknikal mengenai reka bentuk jalan yang memberi keutamaan kepada pejalan kaki, penunggang basikal dan pengguna pengangkutan awam.

Selain Bahasa Malaysia, ia juga tersedia dalam Bahasa Itali, Mandarin, Portugis, Sepanyol, Turki, dan Vietnam.

Panduan Reka Bentuk Jalan Global boleh versi Bahasa Malaysia boleh dimuat turun secara percuma di laman sesawang di https://globaldesigningcities.org/publication/global-street-design-guide-my/. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas