PRESIDEN Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan pandangan Ahli Parlimen Seputeh berhubung sijil halal adalah bersifat peribadi.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata hakikatnya Malaysia akan terus menjuarai hal hab halal global.
“Itu pandangan peribadi dan Malaysia terus menjuarai hal hab halal.
“Pandangan yang bersifat peribadi itu ia akan berlalu dengan berlalunya hari-hari,” katanya pada sidang media selepas Media Tournya di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenyataan Teresa dalam isu pensijilan halal bukan pendirian Pakatan Harapan (PH).
Katanya, kenyataan naib pengerusi DAP itu antara lain mencetuskan kontroversi tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal, namun ia mengecualikan premis menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.
Susulan itu, Teresa berkata cadangan itu dilihat menghalang kebebasan pilihan pengguna serta bertentangan semangat kepelbagaian budaya dalam negara, malah mungkin memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Mohamad Sabu berkata setakat ini 90 peratus persiapan MAHA telah dilakukan dan semuanya berjalan dengan baik.
Beliau turut memaklumkan 16 negara akan sertai MAHA 2024 dan antaranya Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, Jepun, Thailand, Brunei, Indonesia dan lain-lain.
MAHA 2024 akan diadakan bermula 11 hingga 22 September ini.- WILAYAHKU