SELEPAS kejayaan luar biasa Ola Bola pada 2016, satu lagi filem genre sejarah sukan iaitu Harimau Malaya: The Untold Journey bakal menemui penonton di layar perak pada tahun 2024.
Filem terbitan 4Ward Pictures Sdn Bhd ini berkisar tentang perjalanan Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2023.
Penerbit Eksekutif, Nashrul Nasir berkata naskhah tersebut memaparkan empat perspektif berbeza dari segi pihak pengurusan iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain, keluarga dan juga penyokong atau Ultras Malaya.
“Sebagai peminat tegar bola sepak, kita boleh saksikan bahawa prestasi skuad negara semakin baik dan berada di landasan yang tepat dalam mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang terutama selepas pelantikan jurulatih, Kim Pan Gon.
“Justeru itu, saya merasakan sekarang merupakan masa terbaik untuk menghasilkan filem sebegini. Ia diinspirasikan daripada kisah benar dan 40 peratus daripadanya adalah fiksyen yang diselitkan dengan elemen drama di mana menerusi jalan cerita ini ia dapat menyatupadukan lagi seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum,” kongsi beliau.
Nashrul berkata filem ini juga diharapkan dapat menyuntik rasa bangga kepada seluruh rakyat Malaysia apabila buat pertama kali dalam 40 tahun, Malaysia layak secara merit ke pentas akhir Piala Asia.
“Kita fokuskan mengenai susah payah para pemain, jurulatih, pihak pengurusan dan pengorbanan yang dilakukan penyokong. Itu merupakan teras utama bagi Filem Harimau Malaya: The Untold Journey.
“Jika filem Ola Bola berdasarkan sejarah lepas namun kisah yang kita angkat pada kali ini adalah keadaan masa kini dan ke mana hala tuju kita pada masa depan. Ia satu perspektif berlainan dan saya yakin penonton di luar sana juga ingin tahu.
“Tambahan pula kita dibarisi dengan pelakon-pelakon yang boleh dikategorikan sebagai kelas A sekali gus memaparkan kisah di sebalik tabir kehidupan sebagai pemain bola. Sukan ini bukan hanya mengenai individu tapi ia juga melibatkan semua pihak termasuk pengurusan dan penyokong,” ujarnya naskhah tersebut seimbang dan memaparkan perspektif daripada semua pihak.
Tambahnya, sehingga kini kira-kira RM5 juta diperuntukkan bagi menyiapkan projek tersebut tidak termasuk kos-kos pemasaran.
Berkongsi pengalaman pahit manis sepanjang penggambaran, Nashrul berkata setiap filem mempunyai cabarannya tersendiri dan meskipun baharu dalam industri ini namun beliau sudah memahami proses tersebut.
“Ia bukanlah pengalaman pahit tetapi memandangkan musim hujan jadi ada hari yang kita perlu tunggu sehingga keadaan reda baru boleh sambung penggambaran.
“Bila jadual berubah, pelakon dan tim terpaksa menunggu jadual baharu pula untuk penggambaran namun itulah sebahagian daripada proses dugaan dalam pembuatan filem.
“Pujian wajar diberikan kepada seluruh pelakon dan tim produksi yang terlibat kerana komitmen yang ditunjukkan sangat luar biasa mungkin mereka juga faham karya kali ini membabitkan negara jadi mereka sedaya upaya memberikan yang terbaik,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif 4ward Pictures.
Beliau amat mengharapkan agar Harimau Malaya: The Untold Journey mendapat sokongan luar biasa daripada seluruh rakyat Malaysia.
“Apa yang utama semoga filem ini dapat memberi kesan mendalam buat mereka yang menonton seterusnya menyuntik rasa bangga akan pasukan bola sepak negara.
“Semestinya impian setiap penerbit dan pengarah filem ini berjaya mencatat kutipan pecah panggung namun seperti yang saya tekankan naskhah ini lebih kepada menanam rasa sayang terhadap negara serta dalam masa yang sama untuk peminat bola sepak menyaksikan sendiri jerih perih yang dilalui Harimau Malaya dalam mencapai ranking terbaik seperti hari ini,” jelasnya.
HARGAI KARYA TEMPATAN
ISU karya tempatan sukar menembusi pasaran antarabangsa adalah perkara yang sering menjadi persoalan dan dibahas, namun bagi Nashrul, beberapa faktor perlu dilihat terlebih dahulu sebelum ia dibandingkan.
“Sebagai contoh di Indonesia apa yang saya nampak mereka sangat menghargai dan melindungi produk tempatan dan ia bukan bermakna di Malaysia tidak bangga dengan karya yang dihasilkan cuma mungkin kita kurang hargai.
“Tambahan pula jumlah penduduk di Indonesia adalah 10 kali ganda lebih ramai di mana semestinya bajet yang diperuntukkan adalah lebih besar. Selain itu, dari segi tenaga kerja juga mereka tidak mempunyai masalah jadi untuk bandingkan dua negara ini begitu sahaja adalah tidak adil.
“Apa yang kita boleh lakukan adalah dengan menjadi lebih cekap bukan sahaja dari segi jalan cerita malah kos produksi juga. Setiap produksi perlu bijak dalam memastikan penggambaran masih di dalam bajet,” ujarnya.
Turut mempunyai produksi bersama rakan kongsi negara tersebut, Nashrul berkata kos pembikinan filem di negara seberang lebih rendah namun masih mengekalkan kualiti yang sama.
“Kita juga perlu bergerak seperti itu. Tidak dinafikan Malaysia mempunyai pengarah dan penulis skrip yang sangat hebat malahan pelakon juga berbakat. Sebagai contoh, pelakon kita mampu mencipta nama di Indonesia namun untuk pasaran filem, masih sukar untuk ditembusi mungkin kerana semangat kenegaraan dan perasaan menyokong produk lokal itu sangat kuat dalam kalangan rakyat di sana,” jelas beliau berharap rakyat Malaysia lebih menghargai karya anak tempatan. – WILAYAHKU