Oleh SABRINA SABRE
SERAMAI 71 atlet Wilayah Persekutuan (WiPers) teruja menerima insentif keseluruhan berjumlah RM164,000 selepas menampilkan aksi cemerlang menerusi dua kejohanan yang telah berlangsung sepanjang tahun 2023.
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyampaikan insentif berkenaan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas pengorbanan yang dilakukan oleh atlet WiPers yang memenangi pingat pada temasya Sukan SEA ke-32 di Kemboja dan Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 Wilayah Persekutuan.
Menurut Ketua Pengarah JWP, Datuk Noridah Abdul Rahim, beliau bangga apabila ramai atlet WiPers berjaya mengharumkan nama Wilayah Persekutuan dan Malaysia di pelbagai kejohanan serta temasya tempatan dan antarabangsa.
“Seramai 59 orang atlet WiPers ke Sukan SEA ke-32 Kemboja 2023 telah berjaya menghadiahkan tujuh pingat emas, 19 perak dan 24 gangsa buat negara di mana mereka ini juga membawa pulang insentif kemenangan keseluruhan berjumlah RM109,600.
“Insentif keseluruhan berjumlah RM55,000 disampaikan kepada 12 orang atlet WiPers yang telah memenangi pingat pada Sukan Asia ke-19 di Hangzhou. Mereka berjaya membuktikan kemampuan dengan merangkul tiga pingat emas, empat perak dan lima gangsa dalam temasya tersebut yang turut disertai oleh atlet-atlet dari 40 buah negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Sukan SEA ke-32 Kemboja 2023 dan Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 Wilayah Persekutuan di Hotel The Everly Putrajaya.
Dalam masa sama, beliau juga berharap agar insentif ini akan menjadi motivasi dan galakan kepada atlet WiPers untuk menunjukkan pencapaian yang lebih baik pada masa hadapan.
“Menjelang Sukan Olimpik 2024 yang bakal berlangsung di Paris, saya menaruh harapan kepada dua atlet WiPers, pemain badminton beregu lelaki, Soh Wooi Yik dan penerjun wanita, Nur Dhabitah Sabri yang kini berada dalam Program Road To Gold untuk terus meningkatkan prestasi dalam memastikan pingat emas sulung negara dapat dicapai,” tambah beliau, Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan dan majlis pengiktirafan atlet terbaik Wilayah Persekutuan bakal diadakan kembali pada 28 November ini.

Jaguh beregu badminton lelaki negara, Soh Wooi Yik, menyifatkan pemberian insentif tersebut memberi motivasi untuk dirinya agar terus cemerlang di samping mempersiapkan mental dan fizikal bagi memenangi lebih banyak gelaran di peringkat dunia.
“Saya bersyukur kerana Wilayah Persekutuan sentiasa memberi penghargaan kepada atlet yang berjaya meraih pingat dalam kejohanan dan semestinya perkara ini memberi motivasi kepada kami untuk terus berjuang pada masa hadapan. Status gelaran juara dunia yang diraih bersama gandingan, Aaron Chia mendorong kami untuk perbaiki aksi dan kekal konsisten di atas gelanggang sekiranya mahu memburu lebih banyak kejuaraan selepas ini,” ujar anak bekas pemain badminton Malaysia, Soh Goon Chup ini.
Beralih kepada perkembangan terbaharunya, anak jati Kuala Lumpur itu berkata dia bersama Aaron sedang berusaha keras melakukan persiapan fizikal dan latihan pukulan berkualiti dalam gelanggang bagi melayakkan diri ke Jelajah Dunia BWF Akhir.
“Jelajah Dunia BWF Akhir menjadi idaman kami kerana menawarkan mata ranking yang tinggi untuk dimanfaatkan dalam perlumbaan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024,” ujarnya. – WILAYAHKU