Berita

Pakar Jepun bantu rangka strategi tangani banjir kilat Kuala Lumpur

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (kiri) menerima
- Diterbit 10 Disember 2022 2:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur telah menempatkan sekumpulan pakar dari negara Jepun untuk membantu merangka pelbagai strategi jangka masa panjang untuk menangani masalah banjir kilat di ibu negara.

Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Sulaiman Mohamed berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen DBKL untuk memastikan kejadian banjir kilat di bandar raya Kuala Lumpur dapat diatasi ketika berlaku hujan lebat.

“DBKL dengan kerjasama J.CLAIR Singapura telah mengaturkan satu bengkel bertajuk ‘Pengurusan Banjir’ dan menempatkan pakar dari Jepun, Ketua Teknikal, Bahagian Penyelenggaraan Sungai, Pejabat Kerja Raya (Ogawara), Kerajaan Miyagi, Hiroshi Atsushi selama empat hari bagi projek tersebut.

“Beliau mempunyai pengalaman dalam pengurusan dan perancangan kumbahan (air hujan) serta pengurusan sungai. Beliau juga mampu memberi tumpuan dan berkongsi amalan terbaik, pandangan, kaedah membuat perbandingan berhubung perkara-perkara yang berkaitan,” katanya dalam ucapan penutup bengkel Specialist Despatch Project For Kuala Lumpur City Hall (DBKL) Jumaat lalu.

Menjelas lanjut, Sulaiman berkata penempatan pakar dari negara matahari terbit itu dilakukan untuk mengkaji dan mengenal pasti kapasiti saliran air sungai semasa di bawah seliaan DBKL selain mengenal pasti punca banjir kilat di Kuala Lumpur.

“Selain itu, ia untuk menyediakan kaedah penyimpanan dan penggunaan semula air hujan berdasarkan pengalaman dari Wilayah Miyagi, Jepun; dan untuk merangka dan merancang pengaliran air hujan di Kuala Lumpur,” katanya.

Jelas Sulaiman, dalam program ini juga telah diadakan beberapa lawatan tapak Projek On-site Storage Detention Pond (OSD) Taman Tasik Botani Perdana yang merupakan ‘catchment’ Sungai Bras-Bras.

“Selain itu, mereka juga melawat ke Empangan Batu yang menjadi tempat bekalan sumber air mentah untuk disalurkan ke loji rawatan Sungai Air Batu bagi keperluan bekalan air terutamanya di sekitar Kuala Lumpur serta pertemuan di antara Sungai Gombak dan Sungai Klang (di Masjid Jamek Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas mengenai lawatan tapak itu, Sulaiman berkata ia bertujuan untuk memberi pendedahan dan gambaran kepada semua peserta bengkel berkenaan dengan kaedah atau solusi yang dipraktikkan oleh pengurusan DBKL bagi mengatasi masalah banjir kilat di bandar raya Kuala Lumpur.

“DBKL juga berbesar hati menerima segala idea dan pandangan dari pihak pakar berkenaan kaedah kerja yang digunakan berdasarkan pengalaman bencana alam yang pernah mereka alami ketika kejadian tsunami atau gempa bumi berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan harapan agar kerjasama dua pihak ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mencadangkan agar program ini dapat dilaksanakan di Daerah Miyagi, Jepun juga supaya pihak pengurusan DBKL dapat melihat secara langsung dan belajar kaedah pengurusan mitigasi banjir yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa Miyagi, Jepun. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas