PEMAKAIAN pakaian celoreng tentera yang digunakan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 telah dipersetujui di peringkat nasional dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, kajian juga telah dilakukan sebelum memutuskan keputusan tersebut.
“Kajian terhadap program khidmat negara dikebanyakan negara luar menunjukkan pakaian celoreng tentera digunakan berbanding pakaian alternatif yang lain.
“Daripada penilaian kita juga, dapat dilihat penggunaan pakaian berbanding seragam lain mampu meningkatkan lebih lagi semangat patriotisme dalam kalangan pelatih selain ia turut membantu mengurangkan perbelanjaan kos untuk membuat seragam baharu.
“Pakaian ini telah diuji dan dinilai dengan lengkap namun ia akan dipulangkan pelatih selepas tamat latihan untuk kegunaan siri PLKN seterusnya, ” katanya ketika menjawab mengenai rasional penggunaan pakaian celoreng tentera oleh pelatih PLKN 3.0 berbanding pakaian celoreng biru sebelum ini.
Sebagai rekod, pada 12 Januari, seramai 120 peserta sukarela mendaftar untuk siri 1 yang terdiri daripada 80 lelaki dan 40 wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Bagi Siri 2 pula akan dilaksanakan ada 11 Mei hingga 24 Jun 2025 sementara Siri 3 pada 7 September hingga 21 Oktober 2025. – WILAYAHKU