JENAZAH Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai “Pak Lah”, selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, petang ini dalam suasana penuh istiadat dan kesayuan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), semalam, pada usia 85 tahun. Jenazah beliau tiba di Masjid Negara sekitar jam 8.15 pagi dan ditempatkan di ruang utama solat bagi memberi peluang kepada orang ramai menziarahi serta memberikan penghormatan terakhir.
Orang ramai mula hadir seawal jam 10 pagi hingga 1 tengah hari, sebelum solat jenazah dilaksanakan selepas solat Zohor. Jenazah kemudiannya dibawa ke Makam Pahlawan dan dikebumikan kira-kira jam 2.30 petang dengan penuh penghormatan negara.
Tun Abdullah kini menjadi pemimpin negara kelima yang disemadikan di makam bersejarah itu, selepas Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Abdul Ghafar Baba.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Allahyarham sebagai seorang negarawan yang bersih, lembut budi pekerti dan tinggi nilai kemanusiaan dalam kepemimpinannya.
“Pak Lah bukan hanya seorang pemimpin, tetapi tokoh besar yang membawa naratif baharu dalam landskap politik negara.
“Islam Hadhari yang diperkenalkan beliau menjadi satu dasar progresif yang menggabungkan pembangunan dan nilai murni,” katanya dalam satu kenyataan semakan.
Tambah Anwar, kepimpinan Tun Abdullah banyak menumpukan kepada pembaharuan institusi, ketelusan pentadbiran dan pembangunan modal insan, menjadikan beliau dikenang sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.
Upacara pengebumian dihadiri pelbagai pemimpin utama negara termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Datuk Seri Najib Razak; Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir, Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong yang hadir khas memberi penghormatan terakhir.
Tun Abdullah dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, dan menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dari 2003 hingga 2009. Sepanjang pentadbirannya, beliau dikenali sebagai tokoh sederhana yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan, toleransi dan pembinaan bangsa.
Beberapa tahun kebelakangan ini, beliau bergelut dengan masalah kesihatan termasuk dementia yang menyebabkan beliau jarang muncul di khalayak. Pemergiannya disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Kesihatan.
Negara hari ini kehilangan seorang tokoh besar yang akan terus dikenang atas kelembutan, kesederhanaan dan jasa besarnya dalam membina negara bangsa Malaysia.-WILAYAHKU