Berita

Paip pecah bukan kejadian mendapan

INSIDEN di Jalan Sultan Ismail disebabkan oleh kejadian paip pecah bukan mendapan tanah.
- Diterbit 27 September 2024 3:36 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan terdapat paip Air Selangor yang telah pecah dan telah menyebabkan kerosakan pada permukaan jalan.

DBKL dalam satu kenyataan berkata insiden tersebut dilaporkan  berlaku di sekitar Jalan Sultan Ismail, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan oleh pihak Air Selangor. Bagi kerja-kerja baik pulih jalan yang tidak rata akibat tekanan daripada air dijangka siap sepenuhnya pada pukul 5 pagi keesokan harinya (24 september),” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, tular di media sosial video yang mendakwa berlakunya satu insiden lubang benam berdekatan Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur.

Video berdurasi 10 saat yang tersebar itu menunjukkan anggota bomba sedang mengawal satu kawasan jalan yang seakan-akan mengalami mendapan tanah.

Jalan yang terjejas itu turut ditutup dengan kon dan pita kuning manakala aliran air didapati turut berlaku di lokasi.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu menerusi talian MERS 999 pada pukul 5.04 pagi hari kejadian.

Dalam pada itu, pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan insiden di Jalan Sultan Ismail tersebut adalah disebabkan oleh kejadian paip pecah dan bukan mendapan tanah.

Air Selangor dalam satu kenyataan berkata secara amnya kejadian paip pecah boleh menyebabkan kerosakan jalan di sekitar kawasan terlibat kerana tekanan air yang tinggi dalam sistem paip.

“Tindakan segera untuk kerja-kerja pembaikan paip tersebut telah diambil dan siap pada pukul 5 petang.

“Kerja-kerja penurapan jalan sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh 24 jam, bergantung pada keadaan cuaca di lokasi kejadian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas