Berita

Pahang kuasai tiga acara Kejohanan Esports HSN 2024

PASUKAN Pahang meraikan kejuaraan dengan menjulang piala kemenangan.
- Diterbit 23 Oktober 2024 1:25 PM MYT

KONTINJEN Negeri Pahang menjuarai Kejohanan Esports Hari Sukan Negara (HSN) 2024 menerusi tiga acara yang dipertandingkan iaitu Konami eFootball peringkat negeri, futsal dan Esports MedicA.

Pahang mengumpul 33 mata seterusnya membawa pulang wang tunai keseluruhan benilai RM8,000 mengatasi Terengganu di tempat kedua dengan kutipan mata 31 dan Negeri Sembilan di tempat ketiga dengan 28 mata.

Menurut Presiden Malaysia Esports Federation (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharudin, 15 pasukan telah berentap (13 negeri dan dua Wilayah Persekutuan) untuk merebut gelaran juara dan membawa pulang Piala Konami eFootball yang diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun ini.

“Konami eFootball dipilih sebagai acara utama pada Kejohanan Esports HSN 2024 kerana permainan ini berpotensi tinggi untuk menyasarkan pingat emas pada temasya Sukan SEA dan Sukan Asia pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kejohanan Esports HSN 2024 juga menampilkan pelbagai pertandingan permainan popular pada kali ini seperti PUBG Mobile, Mobile Legends Bang Bang, Free Fire dan Tekken.

“Kali ini kita berjaya menarik lebih 2,000 penyertaan peserta yang mana menunjukkan peningkatan 20 peratus berbanding tahun 2023 (1,600 peserta) dengan hampir 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara berlangsung.

“Edisi kali ini juga menampilkan kelainan dengan memperkenalkan konsep Phygital Games di mana pengunjung berpeluang menyaksikan gabungan pertandingan futsal dan eFootball bagi mempromosikan healthy gaming serta seisi Coffee Talk With Esports MedicA sebagai platform perkongsian dan kesedaran berkaitan kesihatan dalam esports.

“Bukan itu sahaja, terdapat juga kelainan yang dibawa pada tahun ini iaitu segmen Mari Mencuba Sukan Rekreasi, pertandingan cosplay, permainan Virtual Reality (VR), booth jualan dan banyak lagi aktiviti menarik buat para pengunjung,” ujarnya.

Menyedari esports mula berkembang pesat, Muhammad Naim berkata bantuan dari sudut kesihatan juga tidak ketinggalan disediakan bagi kepentingan peminat sukan berkenaan.

“Esports MedicA yang terdiri daripada sekumpulan pakar perubatan dan persatuan esports bersedia untuk menjadi servis sokongan terpenting kepada atlet serta seluruh komuniti.

“Semuanya semakin lengkap dalam ekosistem esports di Malaysia namun dari sudut kesihatan, masih belum ada kumpulan perubatan untuk berkhidmat bagi komuniti esports. Oleh itu, kehadiran mereka bakal memberikan sinar baharu buat sukan berkenaan. Inisiatif itu juga disambut baik dan mendapat sokongan penuh kerajaan dan juga industri,” ujarnya.

Muhammad Naim berkata ia merangkumi kesihatan fizikal dan juga mental.

“Adalah satu kerugian sekiranya komuniti itu tidak dididik sejak awal kerana mungkin ada antara mereka bakal bergelar atlet negara yang dapat melonjakkan nama Malaysia dalam esports.

“Setiap individu mempunyai minat tersendiri, ada yang minat dengan aktiviti outdoor dan ada yang meminati aktiviti indoor. Oleh itu, tidak salah sekiranya seseorang itu memilih untuk berkecimpung dalam bidang esports asalkan ia berlandaskan tatacara yang betul,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Pembangunan Rekreasi Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia & Sukan Negara (JBSN), Nor Azli Mohamad Daud berkata penganjuran HSN 2024 bertujuan memberikan kesedaran akan kepentingan gaya hidup aktif dan cergas menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.

“Sudah tentu penganjuran penting ini adalah untuk memperkukuhkan semangat ukhuwah serta integrasi nasional menerusi aktiviti sukan dan rekreasi,” ujarnya.

Terdahulu, Kejohanan Esports HSN 2024 yang berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Presint 3, Putrajaya pada 11 hingga 13 Oktober 2024 merupakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), JBSN dan Rakan Muda manakala MESF bersama Esports Putrajaya sebagai Rakan Pelaksana kejohanan kali ini.

Menariknya, selain menyertai pertandingan dianjurkan, peminat esports yang hadir ke kejohanan itu berpeluang bertemu barisan pemain profesional tempatan antaranya pasukan MLBB Selangor Red Giants yang merupakan Juara Dunia MSC 2024, Naquib Azlan dan Nabil Azlan daripada pasukan Axle Esports, pemain eFootball JDT Esports, Norhaikal Noh, serta jaguh antarabangsa termasuk Juara Dunia Tekken World Tour 2023 iaitu Arslan Ash Siddique dari Pakistan.

Di samping itu, mereka juga berpeluang bertemu dengan Joka Rehman dari pasukan Falcons United Kingdom yang menjuarai Kejohanan Tekken Eropah 2023 serta Juara Tekken Asia Tenggara 2021 dari Thailand, Nopparut ‘Book’ Hempamor dari pasukan Talon. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas