Berita

PADU simpan data 30.1 juta profil individu

- Diterbit 11 Disember 2024 10:28 AM MYT

PANGKALAN Data Utama (PADU) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 2 Jan 2024 telah mempunyai 30.1 juta profil individu.

Kementerian Ekonomi memaklumkan sumber data PADU terdiri daripada pengemaskinian oleh warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun dan ke atas serta pengintegrasian data agensi kerajaan.

“PADU merupakan repositori data yang menjadi rujukan tunggal bagi profil individu dan isi rumah di Malaysia.

“PADU mengandungi pelbagai maklumat antaranya demografi, pendidikan, perbelanjaan, pendapatan dan bantuan yang diterima. Ia juga merupakan antara inisiatif pendigitalan Kerajaan bagi menyokong Government Technology (GovTech),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.

Menjelas lanjut, kementerian berkata menerusi penganalisisan PADU, Kerajaan telah menjana isi rumah, perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) dan pendapatan boleh guna bersih sehingga ke peringkat lokaliti.

“Manfaat utama yang dapat dinikmati oleh rakyat adalah pengenalpastian kumpulan penerima bantuan dengan tepat. Ini kerana penggunaan PADU membolehkan Kerajaan meminimakan berlakunya inclusion dan exclusion errors.

“Selain itu, penggunaan data PADU juga akan membolehkan Kerajaan merangka serta menambah baik dasar dan program sosioekonomi berdasarkan data. Dalam hubungan ini, Kementerian Ekonomi telahpun memanfaatkan data PADU dalam mengenal pasti permohonan peserta Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR),” katanya.

Menurut Kementerian Ekonomi, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian dan agensi antaranya Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perkongsian data PADU dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Pihak Kerajaan Negeri juga telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi dalam perkongsian data untuk program pada peringkat negeri termasuk Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas