Berita

PADU dianggarkan bernilai RM85.27 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025

- Diterbit 2 Julai 2024 10:36 AM MYT

KOS keseluruhan pembangunan dan pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dianggarkan sebanyak RM85.27 juta bagi tempoh tiga tahun pelaksanaan bermula 2023 hingga 2025.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kos tersebut merangkumi perkakasan dan perisian ICT, perkhidmatan ICT, semakan dan verifikasi serta publisiti dan komunikasi strategik.

Menurut Rafizi, di samping itu, peruntukan ini juga adalah bagi pengoperasian pendaftaran pengguna secara dalam talian dan fizikal.

“Sejumlah 10,544,016 juta individu telah mengemas kini data di PADU yang kini memasuki Fasa 2 yang melibatkan proses penganalisisan data bagi menentukan isi rumah, perbelanjaan wajar dan pendapatan boleh guna bersih.

“PADU akan membolehkan kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dengan menggunakan kaedah pendapatan boleh guna bersih. Kaedah ini akan mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.

“Selain dapat mengurangkan keciciran dan ‘inclusion and exclusion error’, kaedah ini turut membolehkan kerajaan beralih daripada pengenalpastian kumpulan sasar berdasarkan konsep B40, M40 dan T20 kepada pendekatan berdasarkan kewajaran pemberian bantuan mengikut kriteria yang ditetapkan,” katanya dalam jawapan lisan di Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin mengetahui status terkini sistem pendaftaran PADU dan keperluan sistem BUDI MADANi diperkenalkan selain perbezaan serta fungsi keduanya dan kos terlibat.

Tambah Rafizi, sistem PADU merupakan satu repositori data semua individu serta isi rumah warganegara dan pemastautin tetap yang berada di Malaysia.

“Manakala program Bantuan Subsidi MADANI (atau BUDI MADANI) diperkenalkan sebagai platform penyasaran semula subsidi hanya kepada yang memerlukan bagi membendung kenaikan kos sara hidup.

“BUDI MADANI juga menggunakan semua pangkalan data sedia ada Kerajaan yang berkaitan. Maklumat tersebut juga akan turut dikongsi dan diintegrasi ke dalam PADU,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas