Artikel

Padu Citra lindungi industri seni tanah air

- Diterbit 12 Julai 2024 10:00 AM MYT

BAGI terus melindungi hak dan keistimewaan para pekerja industri perfileman di negara ini, karyawan filem menggesa pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk melaksanakan semula syarat Padu Citra yang telah dihapuskan selama beberapa tahun.

Perkara tersebut diusulkan oleh para penggiat seni ketika sesi Dialog Industri Kreatif yang diadakan bersempena Konvensyen Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) 2024 baru-baru ini.

Menurut Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki Aksan, pelaksanaan semula Padu Citra adalah penting dalam melindungi industri seni.

“Secara tidak langsung ia turut membantu pihak FINAS dari sudut penerapan regulasi, pangkalan data dan memastikan penggiat seni betul yang mahu bekerja di dalam industri ini diwakili persatuan yang betul.

“Pemansuhan Padu Citra membuatkan siapa pun dari negara luar boleh bergelar pengarah filem, kru produksi, pelakon dan sebagainya kerana undang-undang itu sudah tiada. Sedangkan di bawah Padu Citra sebelum ini siapa sahaja yang mahu menjadi pengarah filem diwajibkan menjadi ahli FDAM terlebih dahulu,” kata beliau.

Tambahnya, melalui syarat Padu Citra mana-mana penggiat seni dari luar yang mahu bekerja di dalam negara ini haruslah menjadi ahli persatuan sama ada FDAM, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) mahupun Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

“Dengan cara ini juga kita menjaga pelaburan kerajaan agar duit tidak keluar ke tempat lain sekali gus memastikan industri kreatif hiburan tempatan menjadi industri bernilai tinggi.

“Kalau tidak, sampai bila-bila pun industri seni ini akan dilabel sebagai sektor yang tidak menyumbang kepada ekonomi serta pendapatan kasar dalam negara di mana kegagalan ini adalah disebabkan semua perkara tidak dilaksanakan mengikut sistem yang betul,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata pihaknya sedang meneliti cara pelaksanaan Padu Citra yang terbaik dalam tempoh yang singkat.

“Saya sendiri pernah dikunjungi oleh persatuan-persatuan di mana kita membincangkan mengenai satu mekanisme terbaik dalam mewajibkan setiap mereka yang terlibat dalam produksi untuk menjadi ahli persatuan.

“Saya terima baik segala cadangan namun dari segi pelaksanaannya belum boleh diuar-uarkan lagi kerana kita tidak mahu ia dilaksanakan secara terburu-buru dan paksaan. Kalau boleh kita mahu mereka yang menjadi ahli ini di atas kerelaan mereka sendiri yang memandang tinggi terhadap persatuan ini.

“Kami juga cakna mengenai kepentingan kebajikan semua individu di dalam industri ini namun kita sedang merangka cara terbaik untuk mendekati mereka seterusnya menjadi ahli persatuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azmir turut menekankan agar syarikat mematuhi undang-undang sedia ada yang mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Kita faham terdapat situasi di mana pekerja diambil secara kontrak berdasarkan projek dan untuk keadaan tersebut dinasihatkan individu terlibat untuk melakukan caruman sendiri.

“Walau bagaimanapun, dalam kaedah di bawah FINAS kita mahu setiap produser yang memperoleh dana FINAS untuk mencarum buat semua pekerjanya termasuk mereka yang diambil secara kontrak.

“Saya juga berharap pada tahun 2025 semua projek di bawah Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) perlu ada PERKESO, SOCSO dan insurans di mana semua warga kerja akan dilindungi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dana latihan juga akan diteruskan kerana dalam usaha untuk membawa industri ini ke arah lebih tinggi latihan tidak boleh diketepikan.

“Latihan dan dana perlu seiring. Kalau FINAS terima peruntukan sebanyak RM10,000 duit dana, latihan lebih kurang 10 ribu juga akan diatur. Ia perlu seiring,” jelasnya.

Terdahulu, sesi Dialog Industri Kreatif merupakan antara tujuh agenda utama bersempena Konvensyen FDAM 2024 yang menampilkan ahli panel berpengalaman dan berpengaruh dalam industri perfileman seperti Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azmir Saifuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood dan Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki Aksan.

 Capai objektif

 HARI Terbuka FDAM dilihat berjaya mencapai objektif awalnya apabila jumlah pengunjung yang hadir mengikuti setiap sesi adalah dua kali ganda daripada sasaran yang ditetapkan.

Menurut Timbalan Pengerusi FDAM, Khir Mohd Noor, buat julung kalinya FDAM bekerjasama dengan Finas bagi menganjurkan Program Konvensyen FDAM 2024.

“Alhamdulillah kita telah mencapai sasaran yang mana pada awalnya konvensyen ini diadakan dengan empat intipati program sahaja iaitu sesi townhall, masterclass, wayang pacak dan apresiasi filem namun setelah berbincang dengan pihak atasan, mereka tambah lagi tiga program iaitu business matching, uji bakat terbuka dan pitching menjadikan kesemuanya tujuh agenda sebagai pengisian utama.

“Sasaran awal bagi sesi Dialog Industri Kreatif adalah seramai 300 namun kehadiran yang diterima adalah dua kali ganda melibatkan penggiat seni serta orang ramai manakala segmen apresiasi filem kita menerima 300 penonton melebihi sasaran ditetapkan iaitu seramai 150 orang sahaja. Untuk sesi masterclass yang disampaikan oleh empat speaker berpengalaman pula kita hadkan kepada 30 hingga 35 peserta sahaja meskipun yang hadir adalah ramai.

“Manakala sesi uji bakat terbuka menerima sambutan luar biasa. Sepatutnya ia berakhir pada pukul 4 petang namun kita anjakkan sehingga pukul 9 malam sekali gus menunjukkan bahawa industri kita tidak pernah kering daripada bakat baharu cumanya mereka memerlukan platform bagi menonjolkan kelebihan tersebut dan kita buka peluang ini secara percuma,” katanya yang ditemui ketika Konvensyen FDAM 2024 bertempat di FINAS, Hulu Klang baru-baru ini.

Khir berkata penggiat industri diibaratkan sebagai pedagang bebas (freelance) bekerja sendiri dan perlu mencari projek sekiranya tidak, mereka tidak akan menjalankan sebarang penggambaran.

“Justeru itu, kita turut mengadakan sesi pitching dan business matching di sini. Kita bawa stesen televisyen dekat kepada pengarah-pengarah. Peluang itu lebih besar dan terbuka daripada mereka perlu menunggu pitching time yang hanya dikeluarkan pada bulan tertentu sahaja.

“Dalam masa yang sama, kita juga dapat melatih mereka cara yang betul untuk pitching serta mempromosi projek yang mereka ada kepada penerbit. Sebenarnya idea pitching ini bukan sahaja tertakluk kepada penerbit atau pengarah malah ia juga boleh diaplikasikan dalam pemilihan pelakon di mana di luar negara ia adalah satu perkara yang biasa namun ia adalah benda baru buat penggiat seni di Malaysia.

“Tom Cruise yang terkenal itu juga perlu melalui uji bakat terlebih dahulu untuk mengetahui sekiranya dia sesuai untuk bawa watak itu atau tidak tetapi di Malaysia kalau kita buat benda yang sama, pelakon akan mula pertikai. Tidak semua tetapi ada. Sebab itu kita menitikberatkan sesi bacaan skrip (script reading) kerana di situ pengarah dapat kenal pasti sejauh mana pelakon tersebut bersedia untuk membawa watak tersebut,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas