KEPIMPINAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dilihat mampu membawa perubahan positif kepada pasukan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Mohd Joehari bersama seluruh jawatankuasa baharu mampu meningkatkan prestasi pasukan Harimau Malaya termasuk Malayan Tigress dan Harimau Muda sehingga peringkat akar umbi.
“Saya yakin Datuk Joe (Mohd Joehari) akan meneruskan kerja yang telah dimulakan oleh Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk menaikkan ranking pasukan Harimau Malaya.
“Kita mahu semua menunjukkan peningkatan,” katanya.
Mohd Joehari diumumkan sebagai Presiden FAM yang baharu bagi menggantikan Hamidin yang tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2018.
Sementara itu, Hannah berkata pihaknya turut memberi sokongan kepada FAM untuk bekerjasama dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“FAM dan Kementerian Belia dan Sukan merupakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi untuk NFDP. Kita juga meminta bantuan AFC untuk membuat penilaian bagi menilai keberkesanan program sedia ada supaya kita boleh melakukan penambahbaikan.
“FIFA banyak membantu FAM dan saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk kita bekerjasama dan tidak membiarkan FAM bekerja sendiri. Suka atau tidak, bola sepak merupakan sukan paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU