JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengenal pasti berlaku isu tadbir urus dan tata kelola lemah terutama kaedah dan pembelian hartanah yang mencurigakan sekali gus berisiko terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan laporan berkenaan bahawa tiada wakil Bank Negara Malaysia sebagai panel ahli, yang merupakan pelanggaran Akta Pembangunan Sumber Manusia (HRD) 2001.
Kata beliau menerusi 10 prosiding yang dijalankan, pihaknya mendapati Panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang besar kepada lembaga pengarahnya (BOD), menyebabkan kekurangan pengawasan terhadap aktiviti pelaburannya.
“Panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburan kepada BODnya, di mana pengurusannya mewajarkan bahawa pengerusi panel itu adalah dalam kalangan BOD.
“Ini menyebabkan BOD tidak dapat memantau aktiviti pelaburan HRD Corp secara keseluruhan dan menjejaskan peranan BOD sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap hala tuju HRD Corp,” kata dalam sidang media di parlimen hari ini.
Mas Ermieyati berkata selaras dengan Akta tersebut, seorang wakil BNM mesti dilantik sebagai salah seorang panel pelaburan.
Bagaimanapun, jelasnya tiada wakil daripada BNM sejak 2017 kerana penglibatan BNM sebagai pengawal selia akan menimbulkan konflik kepentingan.
Susulan itu, beliau mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia mengkaji dan meminda Akta HRD semasa.
“BNM percaya bahawa perkara itu bercanggah dengan peranannya sebagai pengawal selia,” katanya.
Tambahnya, HRD Corp juga perlu memastikan semua aktiviti pelaburan akan dipantau oleh Lembaga Pengarah dengan lebih telus dan teratur.
“Panel pelaburan mesti melaporkan aktiviti pelaburan kepada BOD apabila diminta selaras dengan Akta HRD, dan bukan sahaja kepada pengerusi yang merupakan antara BOD.”
Berdasarkan Akta HRD, panel pelaburan HRD Corp bertanggungjawab mengurus pelaburan dan membentangkan aktiviti pelaburan kepada BOD apabila diminta berbuat demikian.
Dalam pada itu, Mas Ermiyati menyatakan PAC tiada sebarang kuasa untuk mengambil tindakan sebaliknya pihaknya hanya berfingsi untuk menegur sebarang tata kelola dalam setiap urusan berkait dengan kewangan negara.-WILAYAHKU