Lensa

Orkestra Kuala Lumpur dan Beijing Symphony Orkestra sepentas memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China

- Diterbit 14 Jun 2024 11:30 AM MYT

Oleh AMIN FARIJ HASAN

Foto oleh ANNE

SEMPENA memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disokong oleh Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia mempersembahkan konsert orkestra gabungan Orkestra Kuala Lumpur dan Beijing Symphony Orkestra.

Bertempat di Auditorium Bandaraya, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, persembahan tersebut merupakan salah satu cara menghargai hubungan diplomatik serta pencapaian antara kedua-dua negara.

Dalam mengimbau hubungan dua negara dari masa lalu, konsert yang berlangsung pada 25 Mei lalu itu juga mampu mengukuhkan lagi kerjasama seni dan budaya.

Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur, Dr Isabella Pek dan Maestro Tan Li Hua bergabung tenaga memastikan konsert tersebut berjaya membawa penonton menghayati muzik dalam suasana perbezaan kaum yang harmoni.

Ternyata muzik mempunyai daya tarikan universal ditambah lagi dengan persembahan karya-karya hebat komposer dari Malaysia antaranya Cempakasari, Medley Irama Warisan, P. Ramlee, Medley Kenek-Kenek Udang & Watimalandak dan Jambatan Tamparuli dari Malaysia.

Karya muzik dari China juga tidak kurang hebatnya melalui Dance of the Yao Tribe, Chinese Sights and Sounds, Lan Hua Hua, Chinese New Year’s Eve from Erhu Concerto Nostalgia Dreams of Beijing.

Malam penuh bersejarah itu menyaksikan pemuzik dari kedua-dua negara bergabung sebagai simbolik kerjasama erat dalam menjayakan konsert yang memukau halwa telinga.

Pemuzik dari Malaysia, Mohammad Radzi Rosli bermain alat muzik sitar dan Mohd Ridhuan Abdul Zateh bermain gambus ditampilkan bersama Huang Xiao Qing.

Sementara itu, 28 pemuzik diterbangkan dari Beijing antaranya Huang Xiao Qing, pemain solo Erhu mempersembahkan karya klasik Sai Ma yang menampilkan pelbagai kesan bunyi pada Erhu seperti meniru pergerakan dan bunyi kuda.

Lensa:

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas