ORGANISASI awam dan swasta diseru menyertai Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) bagi meningkatkan integriti tatakelola.
Pengarah Pusat Pembangunan Integriti Insan dan Budaya, Institut Integriti Malaysia (IIM), Fison Hamdi Ahmad berkata pelaksanaan AIGA membantu negara berada pada kedudukan yang baik Indeks Persepi Rasuah (CPI).
Beliau berkata organisasi yang menyertai AIGA akan mendapat pengiktirafan selain membantu meningkatkan imej dan kepercayaan kepada pihak berkepentingan berkaitan tadbir urus.
“Menurut CPI 2023 yang diumumkan oleh Transparency International Malaysia, negara berada di kedudukan 57 bagi tahun 2023 berbanding kedudukan 61 pada 2022.
“Kita ada 154 peserta dari organisasi awam dan swasta. Penilaian agak teliti kerana kita mempunyai empat tahap iaitu dokumentasi untuk disemak, sesi temu ramah dalam talian seterusnya secara fizikal ke lokasi, dan lima yang terbaik akan dibawa ke penilaian khas oleh tokoh terkemuka,” katanya pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.
Beliau berkata Majlis AIGA 2023 bakal diadakan Khamis ini di Dewan Sri Siantan, Perbadanan Putrajaya dan akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. – BERNAMA