BIARPUN pelbagai kempen serta kesedaran dilaksanakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan, namun masih wujud sikap pengguna jalan raya mengambil acuh tidak acuh soal keselamatan ketika memandu.
Bukan itu sahaja, masih terdapat segelintir pengguna jalan raya yang tidak mengambil iktibar daripada nahas yang berlaku.
Apa yang menyedihkan apabila mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa dan kehilangan nyawa. Tidak semena-mena, ini sekali gus memberi kesan kepada keluarga mereka.
Secara umumnya, kemalangan jalan raya di negara ini berpunca daripada tiga faktor iaitu sikap pemandu kenderaan dan penunggang motosikal, keadaan kenderaan serta keadaan jalan raya.
Artis popular seperti Aina Abdul, Nadeera dan Zaki Yamani antara artis yang cukup prihatin terhadap isu kemalangan jalan raya yang seolah-olah dipandang enteng oleh sesetengah pihak.
Usah mengikut nafsu
Bagi penyanyi Zaki Yamani, antara punca kemalangan jalan raya adalah kecuaian pemandu sendiri yang secara tidak langsung melibatkan kematian orang yang tidak bersalah.
“Sikap pemandu yang tidak berdisiplin sangat membahayakan orang lain yang menggunakan jalan yang sama. Bayangkan, disebabkan seorang yang cuai, mereka yang memandu secara berhemah pun boleh menjadi mangsa.
“Misalnya pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol adalah faktor utama dalam kemalangan yang membawa maut. Kenapa mesti memandu jika keadaan diri tidak bersedia? Ingat, jangan terlalu mengikut nafsu!
“Apabila kita dapati diri sendiri belum bersedia untuk memandu, janganlah berbuat demikian. Rehat, tenangkan diri dan pastikan diri dalam keadaan waras.
“Sanggupkah anda membahayakan nyawa orang lain hanya kerana kecuaian anda ketika memandu dalam keadaan tidak mengizinkan. Perbuatan itu berisiko menjadikan seorang anak kehilangan ibu bapa, seorang isteri kehilangan suami dan sebagainya.
“Kalau benda hilang, masih boleh cari. Kalau nyawa melayang, nak ganti dengan apa? Jadi, fikir-fikirkanlah,” katanya.
Anak kepada penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah ini juga melihat hukuman berat sesuai dikenakan kepada pesalah, namun ia tidak berbaloi dengan nyawa yang hilang.
“Mungkin ramai berpuas hati apabila pemandu cuai yang menyebabkan kematian dihukum sewajarnya. Namun, berbaloikah apabila kita melihat tangisan keluarga yang kehilangan orang tersayang?
“Jadi cegahlah sebelum berlaku. Tolonglah persiapkan diri sebelum memandu. Jangan pandang remeh hal ini kerana perkara yang dilihat kecil itulah menyebabkan nyawa orang lain hilang buat selama-lamanya,” ujarnya.
Dapatkan rehat secukupnya
Pelantun lagu Puas Sudah, Aina Abdul menyarankan agar mana-mana pemandu mempersiapkan diri sebelum memulakan perjalanan sama ada jauh atau dekat.
Bagi finalis Anugerah Juara Lagu 39 ini, sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas daripada kesilapan namun pencegahan adalah jalan terbaik agar semuanya selamat.
“Kes kemalangan jalan raya sangat mengerikan. Boleh dikatakan setiap hari kita dengar kes kemalangan dan apa yang menyedihkan apabila ia melibatkan kehilangan nyawa.
“Jadi untuk mencegah daripada berlaku kemalangan, pastikan kita amalkan tip perjalanan selamat.
“Sebelum memandu, dapatkan rehat secukupnya terutama sebelum memulakan perjalanan yang panjang. Rehat yang saya maksudkan seperti tidur apabila badan penat.
“Begitu juga jika emosi kita terganggu atau fikiran tak tenteram, rehatlah. Bagaimana cara nak rehatkan fikiran itu, masing-masing pasti punya cara tersendiri.
“Sekiranya tidak cukup rehat badan dan mental, elok ditangguhkan perjalanan. Mungkin kita rasa rugi atau membazir masa, itu lebih baik daripada berlaku sesuatu yang tidak kita ingini,” katanya.
Aina juga menyarankan agar memanfaatkan kemudahan hentian rehat yang terdapat di mana-mana lebuh raya.
“Seelok-eloknya pemandu berhenti rehat setiap dua jam pemanduan untuk meningkatkan tahap kesegaran dan dapat memandu dengan fokus, cekap serta selamat.
“Sikap untuk cepat sampai ke destinasi antara penyumbang kepada kecuaian terutamanya memandu laju dan sanggup memperjudikan keselamatan meskipun fizikal sudah keletihan serta mengantuk.
“Selain itu, perlunya rancang perjalanan. Periksa kenderaan, tengok selamat atau tidak untuk memulakan perjalanan.
“Kemudian, tengok kesesuaian pemilihan laluan. Sekarang mudah sebab dah ada teknologi untuk tahu laluan dan anggaran masa. Jadi tak adalah kelam kabut.
“Ini semua penting kerana rehat dan persediaan yang secukupnya diperlukan untuk mengelak kemalangan dan mengorbankan nyawa yang tidak bersalah,” tambahnya lagi.
‘Kawal emosi, berhemah’
Bagi penyanyi Bukan Lagi Kita, Nadeera, pengguna jalan raya perlu ada rasa tanggungjawab sebelum memulakan perjalanan.
“Jadilah pemandu yang berhemah. Patuhilah peraturan jalan raya terutamanya tidak memandu melebihi had laju. Jangan rasa selesa apabila laju kerana itulah yang menjadi punca kemalangan.
“Insya-Allah, walaupun tidak memandu laju, kita akan tetap sampai ke destinasi. Begitu juga, jika keletihan atau mengantuk, lebih baik berehat seketika di kawasan yang selamat seperti hentian rehat dan rawat,” pesannya.
Nadeera yang juga finalis Anugerah Juara Lagu 39 ini mengingatkan agar pengguna jalan raya sentiasa mengawal emosi ketika memandu.
“Kalau ada rasa tak puas hati dengan mana-mana pengguna jalan raya yang lain, kawallah emosi tu. Janganlah terlalu ikut emosi yang akhirnya jadi tragedi yang menyayat hati.
“Tanamkan sifat sabar. Biarkan orang lain nak buat apa, pentingkan keselamatan diri dan orang-orang tersayang yang sedang bersama kita.
“Sifat sabar ini banyak hikmahnya. Itu yang Allah janjikan. Jadi, banyakkan bersabar dalam banyak hal terutamanya ketika memandu di jalan raya.
“Di samping itu, patuhilah peraturan jalan raya. Jangan buat macam jalan kita seorang,” tambahnya lagi.