OPS Tiris yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 1 Mac lalu bertujuan membanteras isu penyelewengan minyak diesel bersubsidi telah berjaya merampas lebih 6.4 juta liter bernilai lebih RM14.2 juta
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata atas hasil dan perkembangan yang baik dari ops tersebut, Ops Tiris 3.0 dijalankan dengan skop yang diperluas mencakupi barang-barang kawalan lain.
“Antara barangan kawalan yang disasarkan adalah iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1KG, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).
“Sehingga 14 Jun lalu, sejumlah RM12,956,089.96 nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng,” katanga dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata Kerajaan Madani akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan tidak menghapuskan subsidi sebaliknya apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.
”Kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Katanya, tujuan utama dasar penyasaran subsidi diesel adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.
“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata Kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak Kerajaan ini mengambil alih tampuk kepimpinan meski harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890/mt.
“Sebagai contoh dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215/mt dan April RM4,256/mt, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga
RM33-RM35,” katanya.- WILAYAHKU