SEBANYAK 161 notis tawaran kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang telah dikesan semasa Operasi Bersepadu Halang siri 5 dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Operasi itu dilaksanakan DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan.
“Operasi ini memfokuskan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan kenderaan yang membuat halangan dan ingkar isyarat lalu lintas.
“Operasi ini tertumpu di sekitar Pusat Bandar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” kata DBKL di Facebook.
Sementara itu, DBKL berkata sebanyak tujuh buah kenderaan telah ditunda dan empat penjaja tanpa kebenaran telah disita serta-merta.
DBKL berkata pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan tertera seperti berikut https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.