Berita

Operator tidak perlu bimbang cadangan pemodenan Pasar Borong KL

INFRASTRUKTUR jalan di sekitar PBKL juga diselenggara secara berperingkat.
- Diterbit 18 November 2024 5:48 PM MYT

PERSATUAN Pemborong dan Operator Pasar Borong Kuala Lumpur (GPPO) tidak perlu bimbang tidak dipanggil ke sesi libat urus berhubung cadangan pemodenan Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) berikutan kerajaan telah membatalkan keputusan melantik pemaju Syarikat Pasamas Jaya Sdn Bhd  (PJSB).

Jaminan itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berikutan kegagalan syarikat tersebut menepati keperluan seperti yang telah ditetapkan.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak syarikat iaitu PJSB bagi meneliti dan menyemak skop pembangunan, tetapi pihak PJSB sehingga tarikh yang ditetapkan gagal menepati keperluan.

“Jadi perkara ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat Khas (JK OSC Khas) pada 23 Oktober 2024. Dan setelah mendengar dan mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang terlibat di dalam JK OSC KHAS ini, kita telah bersetuju untuk membatalkan Surat Niat Cadangan Menambah Baik dan Memodenkan PBKL kepada PJSB kerana kegagalan untuk memuktamadkan keperluan pembangunan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi kamar khas berhubung Bantahan GPPO terhadap Cadangan Projek Pembangunan Dan Pemodenan Pasar Borong Kuala Lumpur yang dibawa Datuk Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) di Parlimen pada Rabu.

Menjelas lanjut, Zaliha berkata selanjutnya perkara ini akan diangkat untuk penyediaan kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi membatalkan keputusan MJM yang bertarikh 4 Ogos 2021 tersebut.

“Jadi pihak GPPO, bagi saya tidak perlu bimbang dengan tidak adanya libat urus oleh pihak syarikat sebelum ini dan kita untuk masa hadapan akan memastikan syarikat yang mungkin akan dipilih kemudian akan melakukan libat urus dengan GPPO,” katanya.

Zaliha juga telah mengarahkan supaya DBKL meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan di PBKL seperti baik pulih paip, longkang, saluran tersumbat dan penggantian lampu/spotlight di kawasan peniaga serta pembersihan grease trap dan juga rumah sampah.

“Infrastruktur jalan di sekitar PBKL juga akan diselenggara secara berperingkat seperti penurapan jalan dan baik pulih interlocking pavers,” katanya.

Ujarnya, bagi tindakan jangka panjang, beliau juga telah mengarahkan pihak DBKL untuk melaksanakan kajian secara menyeluruh terhadap cadangan konsep pembangunan yang bersesuaian dengan aktiviti di sekitar Pusat Bandar Utara dan tidak hanya tertumpu kepada PBKL sahaja.

“Melalui kajian ini, hasrat untuk memodenkan kawasan Pusat Bandar Utara dapat direalisasikan dan pada masa yang sama diharap usaha untuk menangani masalah lambakan warga asing juga akan dapat dikurangkan,” katanya.

Cadangan Menambah Baik dan Memodenkan Pasar Borong Kuala Lumpur di atas Lot 56737, Mukim Batu Dan Lot 296 Pekan Batu Caves, Kuala Lumpur ini secara dasarnya telah mendapat kelulusan melalui Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bertarikh 4 Ogos 2021 yang telah bersetuju supaya kelulusan prinsip diberikan kepada PJSB yang merupakan Special Purpose Vehicle (SPV) di bawah Syarikat Q Mastermind Sdn Bhd (QMSB) untuk melaksanakan cadangan pembangunan tersebut.

Walau bagaimanapun, cadangan pembangunan tersebut tertakluk kepada perbincangan lanjut antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan juga Kementerian Kewangan.

Cadangan Menambah Baik dan Memodenkan PBKL yang dicadangkan oleh PJSB secara asasnya mengandungi pembangunan satu blok bangunan baharu empat tingkat yang terdiri daripada lot-lot kedai, bilik sejuk beku dan tempat letak kereta serta melibatkan kerja-kerja penambahbaikan bangunan PBKL sedia ada yang menempatkan 448 peniaga dan pemborong seperti menukar bumbung, pembaikan lantai pasar, sistem perparitan dan pendawaian elektrik. Cadangan pembangunan ini akan melibatkan kos sebanyak RM153,046,080. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas