Berita

Operasi Sepadu Bersih: 34 kompaun dikeluarkan DBKL

- Diterbit 16 November 2023 6:57 AM MYT

SEBANYAK 45 premis telah diperiksa oleh pihak Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Operasi Sepadu Bersih di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut DBKL, operasi yang dijalankan pada 15 November 2023 itu melibatkan seramai 38 orang petugas dan empat parlimen.

“Antaranya adalah Pinacle Mall (Parlimen Seputeh), Jalan Sri Hartamas 7 dan 8 dan Medan Selera Jalan Duta (Parlimen Segambut), Jalan Mastiara (Parlimen Batu) dan Plaza Pantai (Parlimen Lembah Pantai).

“Operasi ini jelas menunjukkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan dan minuman perlu diberi perhatian serius oleh semua operator di dalam industri ini demi kemaslahatan semua pihak bahkan mampu menjadi daya penarik kepada perniagaan yang dijalankan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook DBKL.

DBKL berkata sebanyak 45 premis telah diperiksa dan sebanyak 34 kompaun dikeluarkan kepada premis-premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“45 premis diperiksa dan hasilnya sebuah premis telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan 28(1) WPKL 2016.

“Sebanyak 34 kompaun juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979,” ujarnya.

Tambahnya, isu-isu seperti pekerja tidak ambil suntikan tifoid, premis kotor, pengendalian bahan mentah yang tidak terurus, salah guna lorong belakang, terdapat haiwan atau serangga perosak di dalam premis dan perangkap minyak tidak diselenggara masih dipandang ringan oleh sesetengah peniaga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas