Berita

Operasi SAR wanita warga India diteruskan

- Diterbit 29 Ogos 2024 10:43 AM MYT

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India diteruskan.

Unit Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia akan memasuki saluran kumbahan secara ‘upstream’ dari ‘manhole’ Wisma Yakin.

Menurut kenyataan di keluarkan Unit Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata kerja-kerja ‘shoring’ secara manual dan kerja-kerja penggalian juga telah dijalankan.

“Pasukan Unit Pengesan (K9) telah dibawa masuk bagi mengesan mangsa.

“Pada masa yang sama, kerja-kerja Ground Penetrating Radar (GPR) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) diteruskan dan akan bersambung pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Unit Jabatan Perancangan Korporat DBKL memaklumkan laluan ditutup dari Pondok Polis Jalan Masjid India sehingga ke Semua House bagi kelancaran kerja-kerja di lokasi kejadian.

“Mohon kerjasama orang ramai untuk mengurangkan pergerakan di kawasan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian tanah jerlus pada Jumaat lalu yang menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang.

Mangsa dilaporkan terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di lokasi itu dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas