OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan seorang mangsa warga India yang hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India ditangguhkan sementara ekoran hujan lebat di kawasan kejadian.
Unit Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata penangguhan itu sejak pukul 7.30 malam tadi.
Dalam satu kenyataan, DBKL berkata kerja-kerja tersebut akan bersambung pada esok selepas kerja-kerja mencari dan menyelamat diteruskan dengan memfokuskan kerja-kerja pencarian di kawasan titik akhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
“Hasil daripada pencarian tersebut adalah negatif.
“Pasukan SAR juga sedang dalam tindakan memecahkan dinding (atas) manhole di lokasi kejadian untuk mendapatkan visibility yang lebih jelas di dalam manhole,” katanya.
DBKL berkata kerja-kerja pencarian melalui kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di kawasan sekitar Masjid India digunakan untuk menilai keadaan tanah.
DBKL berkata sementara kaedah GPR yang sama oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) digunakan di sekitar kawasan lubang benam.
“Kerja-kerja survei oleh JMG bermula dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan kawasan masjid di mana liputan survei ialah 65 meter,” katanya.
Pada kejadian pagi Jumaat, seorang mangsa warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku. – WILAYAHKU