Berita

Operasi perkhidmatan feri ditangguhkan, Dr Zaliha bakal berjumpa Hajiji untuk perbincangan

- Diterbit 13 Januari 2025 10:51 PM MYT

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan pengoperasian semula perkhidmatan feri antara Labuan dan Kota Kinabalu.

Dr Zaliha berkata, operasi itu sepatutnya bermula hujung tahun lalu namun tidak dapat diteruskan kerana keadaan jeti di Jesselton Point, Kota Kinabalu yang mempunyai masalah teknikal dan isu keselamatan.

“Kita sudah bersedia untuk pengoperasian semula tetapi kena faham bahawa untuk kegunaan perkhidmatan itu memerlukan kedua-dua pihak (Labuan dan Sabah).

“Insya Allah, saya sendiri akan cuba mendapatkan tarikh untuk bertemu dengan Ketua Menteri Sabah bagi membincangkan lebih lanjut pengoperasian semula perkhidmatan feri ini,”katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha menegaskan perkhidmatan feri penting kepada pulau bebas cukai itu dalam meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan dan menggalakkan pelancongan.

“Apa yang kita mahu adalah kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada perkara ini.

“Di Labuan, kita sudah melaksanakan pelbagai usaha termasuklah mengadakan dan menambah program-program pelancongan antarabangsa namun tidak akan memberikan kesan tanpa ketersambungan (connectivity),”katanya.

Terdahulu, perkhidmatan feri berkenaan yang dijadual beroperasi pada 15 Disember lepas ditangguhkan susulan terdapat isu keselamatan. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas